Akibat terlalu teruja dengan aksi ‘stunt’ yang tidak patut, seorang lelaki dan seorang wanita yang berpakaian seperti watak adiwira ‘Spiderman’ dan ‘Spiderwoman’ telah ditangkap oleh polis selepas melakukan perbuatan berbahaya dengan motosikal di jalan raya berhampiran Dwarka, New Delhi, India.
Selain daripada melakukan aksi tersebut, pasangan yang dikenali sebagai Aditya, 20 tahun, dan rakannya yang berumur 19 tahun juga dituduh kerana menunggang motosikal tanpa memasang cermin sisi dan nombor plat.
Mereka mengenalkan diri mereka sebagai ‘Spiderman’ dan ‘Spiderwoman’ India dan rakaman aksi mereka dimuat naik ke akaun Instagram dengan tajuk ‘Spiderman Nagafgarh Part 5’.
Dalam video tersebut, Spiderwoman mendekati rakan-rakan di kawasan kejiranan dan bersalaman dengan mereka.
Kemudian, dia menaiki motosikal dan menuju ke jalan raya berhampiran New Delhi.
Semasa dalam perjalanan, mereka terlihat sedang berbual antara satu sama lain dan tiba-tiba melakukan gerakan seperti mendepa tangan ke atas motosikal.
Selepas video mereka tersebar luas di media sosial, polis trafik New Delhi berjaya menangkap mereka dan mengenakan denda di bawah Akta Kenderaan Bermotor.
Pasangan itu dilaporkan memuat naik aksi mereka dalam akaun Instagram dengan nama ‘India Spidey Official’ yang mempunyai 10,000 pengikut dan beberapa video mereka telah mendapat lebih daripada 70,000 tanda suka.