Usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri mungkin akan menghadapi tindakan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun berikutan penyebaran video teaser lagu yang diberi judul Love Raya yang dianggap lucah dan menghina kesucian bulan Ramadan baru-baru ini.
Walaupun beliau telah memadamkan dan menjelaskan bahawa video tersebut hanya sebagai jenaka ‘April Fool’, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan bahawa mereka telah merakam keterangan Aliff berkenaan dengan video tersebut pada Rabu.
“Video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dianggap sebagai kandungan yang tidak senonoh.
“Perbuatan ini melanggar Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat tidak senonoh, lucah atau tidak sesuai dengan niat untuk menyakiti hati atau mengganggu orang lain.
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000, atau dipenjarakan maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelas wakil SKMM melalui satu kenyataan kepada media.
Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) dan SKMM turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pada masa yang sama, SKMM mengesahkan sebuah telefon bimbit dan kad sim milik Aliff telah disita untuk tujuan penyiasatan.
Kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Pegawai penyiasat telah menyita kad sim yang dipercayai milik suspek serta sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk memuat naik video,” katanya.
Isu yang melibatkan Aliff sebelum ini menjadi perbualan hangat setelah beliau memuat naik video teaser lagu berjudul Love Raya.
Video tersebut menunjukkan tarian yang dianggap tidak senonoh dan tidak sesuai ditonton terutama pada bulan Ramadan.
Selepas menerima banyak kritikan, Aliff telah memadam semula video tersebut dan memberitahu bahawa pelancaran lagu baharu hanyalah satu gimmick.
Aliff juga telah memohon maaf dan meminta agar mana-mana pihak memadam salinan video tersebut.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, juga telah meminta SKMM untuk menyiasat kandungan video tersebut dan mengambil tindakan lanjut jika perlu.