Siti Mariah akhirnya ditemui setelah hilang selama 9 tahun tanpa khabar berita

Photo of author

By Syima Iza

Siti Mariah akhirnya ditemui setelah hilang selama 9 tahun tanpa khabar berita.

Penantian sepasang suami isteri untuk menemui anak sulung mereka yang hilang tanpa khabar berita sejak sembilan tahun lalu akhirnya bernoktah.

Hamzah Said, 65, dan isterinya, Che Safuan Abd Rahman, 61, dari Kampung Sireh, Naka, Padang Terap tidak putus mengucapkan syukur apabila dimaklumkan mengenai penemuan anak Siti Mariah , 39, di Labu, Negeri Sembilan, malam tadi.

Siti Mariah akhirnya ditemui setelah hilang selama 9 tahun tanpa khabar berita

Che Safuan berkata dia sangat gembira dan terharu selepas dapat bercakap dengan anak kesayangan mereka melalui panggilan video, malam tadi.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak terutama Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar dan Ketua Balai Polis Labu, serta pihak media yang membantu mencari anak sulung kami.

“Anak kami dijangka pulang ke kampung Sabtu ini, perasaan saya tidak dapat digambarkan, sedih, sebak, gembira dan rindu pada Along selepas sekian lama tidak berjumpa, “katanya ketika dihubungi.

Penemuan anak sulung daripada empat beradik ini disahkan Mulkiaman ketika dihubungi hari ini.

Mulkiaman turut berkunjung ke rumah keluarga Siti Mariah di Kampung Sireh pagi tadi untuk memaklumkan penemuan anak pasangan ini selepas disahkan penemuannya.

Kisah kehilangan Siti Mariah pernah dilaporkan media pada 20 November lalu.

Hamzah dan isterinya sebelum ini meluahkan kerinduan terhadap anak sulung mereka yang hilang tanpa khabar berita selepas keluar dari rumah untuk mencari pekerjaan pada tahun 2015.

Siti Mariah adalah bekas pelajar lulusan Ijazah daripada Universiti Malaysia Sarawak pada tahun 2004 hingga 2007.

Selepas tamat pengajian, dia bekerja di sebuah bank di ibu negara.

Pelbagai usaha dilakukan oleh ahli keluarga untuk mengesan Siti Mariah, namun menemui jalan buntu.

Baca Lagi:
Sanggup jual tanah, keluar wang KWSP akhirnya ditipu kripto ‘patuh syariah’
Pekerja lombong gali tanah waktu malam jumpa mayat dibaluti kain kafan macam ‘pocong’
Empat produk kosmetik didapati beracun, tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia