Sindiket ‘scammer’ alaf baharu perangkap mangsa hanya guna kad kahwin digital palsu untuk sedut duit

Photo of author

By Syima Iza

Sindiket ‘scammer’ alaf baharu perangkap mangsa hanya guna kad kahwin digital palsu untuk sedut duit.

Mudah, dengan hanya memuat turun pautan atau ‘link’ pada kad undangan perkahwinan digital, sindiket scammer alaf baharu ini memerangkap dan memperdaya mangsa.

Dengan hanya satu klik, mangsa boleh kehilangan sejumlah wang yang terdapat pada akaun simpanan wang peribadi.

Aplikasi dikenali Fail Kid Package Android (APK) akan meminta kebenaran untuk melihat dan menghantar SMS, jika mangsa menekan “YA”, scammer boleh mencuri nombor TAC atau OTP untuk melakukan transaksi dari akaun perbankan mangsa.

Sindiket 'scammer' alaf baharu perangkap mangsa hanya guna kad kahwin digital palsu untuk sedut duit

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial telah mengesan taktik itu sejak penghujung 2021.

Dalam tempoh itu sehingga Jun tahun ini, sebanyak 1,434 kes dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM23.2 juta ringgit dengan penahanan 150 ahli sindiket.

Orang ramai yang ditemui bimbang hal itu terjadi kepada mereka, memandangkan penggunaan kad undangan berbentuk digital menjadi pilihan bakal pengantin masa kini.

Kakitangan Swasta, Nur Hamizah Mohamad A’zlan, 36 tahun berkata, sesiapa sahaja boleh terpedaya kerana sindiket ini akan menyamar sebagai kenalan sebelum bertindak menjemput mangsa ke majlis perkahwinan dengan menghantar kad jemputan digital palsu di aplikasi Whatsapp.

“Sekarang terlalu banyak scammer di luar sana, pelbagai cara mereka akan lakukan untuk memperdaya orang ramai.

“Memandangkan semua sudah ke arah pendigitalan jadi scammer akan cari cara dan taktik baru, macam sekarang terkenal dengan kad kahwin digital, jadi senang mereka nak curi peluang untuk perdaya masyarakat luar,”katanya.

Jelasnya orang ramai perlu peka dan sebaiknya tidak menekan apa-apa pautan yang mencurigakan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dalam kenyataan kepada Buletin TV3 berkata merujuk kepada Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CSM pada bulan Jun 2023, sebanyak 1,799 insiden keselamatan siber melibatkan penipuan dalam talian telah dilaporkan.

“Manakala jumlah keseluruhan insiden keselamatan siber yang dilaporkan bagi tempoh bulan Januari tahun ini hingga Jun adalah 2,825.

“Dalam mengekang masalah berkenaan, pihak kami giat melaksanakan beberapa inisiatif berkaitan scam antaranya Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023

“Program itu bertujuan memberi informasi dan kesedaran kepada pengguna berikutan peningkatan kes jenayah scam yang semakin berleluasa sehingga menyebabkan berlaku kerugian jutaan ringgit malah menggugat kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,”katanya.

Baca Lagi:
12 lokasi misteri dan berhantu yang paling seram di Malaysia
Pempengaruh dibunuh, mayat dikerat ditemui dalam beg pakaian
Pengurus restoran nasi ganja kecewa difitnah ludah dalam masakan