Siapa berani beli? Rumah di tengah hutan mahu dijual dengan harga RM7,000.
Sebuah rumah di Jogjakarta mengundang perhatian orang ramai kerana dijual pada harga yang dianggap terlalu murah, lapor portal berita Abatanews semalam.
Rumah itu dijual pada harga 25 juta rupiah (RM7,005) secara dalam talian, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Menerusi gambar yang dimuat naik di platform X oleh akaun @78vip, rumah itu terletak di tengah hutan dan dikelilingi pokok-pokok tinggi.
Lebih menyeramkan, keadaan rumah tersebut usang dengan cat yang sudah lekang, manakala bumbung dan dindingnya dilitupi lumut.
Ia juga menawarkan hanya dua bilik tidur dan satu bilik mandi.
“Saya terkejut apabila melihat sebuah rumah yang mahu dijual pada harga 25 juta rupiah sahaja,” demikian menurut keterangan siaran itu.
Perkongsian itu mencatatkan lebih 8.7 juta tontonan bersama 1,600 komen.
“Ini terlalu seram! Ia terletak di tengah hutan!” komen seorang netizen.
“Kelebihan rumah ini adalah diganggu oleh makhluk halus selepas maghrib,” gurau netizen lain.
masih nemu rumah 25jt di jogja pic.twitter.com/PO1r13zktv
— 78via ❑ (@78vip) November 20, 2024