Setelah dicemuh terima hadiah motosikal baru, ini jawapan Derrick Gan.
Penyokong Harimau Malaya, Derrick Gan menjawab cemuhan dilemparkan sesetengah pihak yang mempersoalkan hadiah motosikal yang diterima selepas kisahnya menonton skuad negara di Piala Asia, Qatar tular.
Derrick memuat naik satu hantaran di laman Facebook miliknya dengan gambar tangkap layar yang mempersoalkan sama ada dia adalah ‘orang susah’ sehingga mendapat banyak hadiah motosikal.
“Adakah saya pernah menyebut bahawa saya orang susah? Adakah saya meminta jurukamera untuk mengambil visual saya? Adakah saya meminta motosikal yang telah diberikan kepada saya?
“Siapa sangka bahawa saya akan menjadi tular? Katakan apa sahaja yang anda mahu, tetapi jangan kata perkara yang tidak keluar dari mulut saya. Perkara yang tidak keluar dari mulut saya adalah konspirasi.
“Tetapi, sudah tentu semua ini berlaku kerana saya sedang menjadi perhatian. Saya menerima apa sahaja yang dikatakan kepada saya sama ada positif atau negatif,” katanya dalam hantaran tersebut.
Sebelum ini, Derrick atau lebih dikenali sebagai ‘abang rambut perang’ mendapat perhatian selepas dia sanggup menjual motosikalnya untuk menonton semua aksi membabitkan skuad negara di Piala Asia.
Derrick tular apabila video dia menangis ketika meraikan gol kedua Harimau Malaya dirakam siaran langsung dan turut mengundang sebak dalam kalangan penyokong negara.
Dalam pada itu, dia juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menumpang ‘glamornya’ itu tetapi dengan syarat dapat membantu masyarakat yang memerlukan.
“Hubungi saya dan kita boleh membincangkannya, tetapi hanya dalam bentuk memberikannya kembali kepada orang ramai. Seperti anda boleh melakukan pertandingan atau hadiahkan produk anda.
“Ambil peluang ini bukan hanya untuk mempromosikan jenama anda, syarikat anda, tetapi juga untuk membantu orang lain yang memerlukan,” katanya.