Sepasang suami isteri terkejut ambil mangkuk mi kosong pun kena caj RM0.66.
Sebuah gerai mi di Singapura mengenakan bayaran tambahan SGD$0.20 (RM0.66) untuk sebuah mangkuk kosong kepada pembeli, lapor portal berita Stomp hari ini.
Seorang pelanggan berkata, apabila dia bertanya mengapa dikenakan caj tambahan, peniaga gerai itu memberitahunya bahawa ia disebabkan oleh kerajaan.
Pelanggan tersebut pergi ke sebuah pusat jualan makanan untuk bersarapan pagi bersama isterinya dan memesan semangkuk mi sup dari gerai berkenaan.
“Saya kemudian mengambil mangkuk kosong kecil dari gerai itu untuk berkongsi makanan dengan isteri saya,” katanya.
Namun, peniaga itu memberitahunya bahawa caj tambahan adalah SGD$0.20.
“Saya bertanya kepadanya mengapa ada caj tambahan itu. Dia berkata, ia adalah untuk mencuci mangkuk dan dikenakan oleh kerajaan.
“Saya beritahu dia bahawa ini mengarut. Dia menjawab bahawa saya patut mengadu kepada kerajaan, bukan kepada dia,” ujar pelanggan tersebut.
Akhirnya, pelanggan itu tidak mengambil mangkuk tambahan.