Senarai 5 wanita paling jahat di dunia, no 4 paling ngeri.
Jenayah kejam sering dikaitkan dengan golongan lelaki yang dianggap lebih kuat dan berpotensi melakukan tindakan tersebut berbanding wanita.
Namun, tanpa disedari, kejahatan tidak mengenal jantina. Menurut sejarah, wanita juga telah melakukan perbuatan keji yang meninggalkan kesan hitam dalam lipatan sejarah manusia.
Tidak ramai yang tahu bahawa terdapat beberapa wanita di dunia yang telah melakukan pelbagai jenayah seperti pembunuhan bersiri, diktator politik, pengedaran dadah, dan pemerintahan kejam.
Wanita-wanita ini telah mengejutkan dunia dengan kekejaman mereka, sehingga menjadikan mereka antara individu paling jahat dalam sejarah. Kali ini, Panorama meneroka lima kisah wanita yang terkenal dengan kejahatan mereka berdasarkan artikel di portal bestdiplomats.
1. Miyuki Ishikawa
Seorang bidan dari Jepun, Miyuki Ishikawa dikenali sebagai pembunuh bersiri paling prolifik dalam sejarah negara Matahari Terbit pada tahun 1940-an.
Dengan bantuan beberapa individu lain, termasuk suaminya, Ishikawa terlibat dalam kematian antara 85 hingga 169 bayi, terutamanya disebabkan oleh pengabaian.
Semasa perbicaraan, Ishikawa memberikan hujah mengejutkan bahawa kematian itu berpunca daripada tindakan ibu bapa yang meninggalkan anak-anak mereka. Hujah tersebut berjaya meyakinkan pihak pengadilan, dan Ishikawa hanya menerima hukuman ringan iaitu lapan tahun penjara.
Kes ini bukan sahaja mendedahkan kejahatan Ishikawa, malah turut menonjolkan kerumitan sistem keadilan dan sikap masyarakat terhadap jenayah kejam.
2. Aileen Wuornos
Aileen Wuornos menjadi terkenal sebagai salah seorang pembunuh bersiri paling terkenal di Amerika Syarikat (AS).
Dibesarkan dalam lingkungan kehidupan yang bermasalah, dia mengalami penderaan seksual ketika remaja, sebelum menjadi pekerja seks di lebuh raya Florida.
Pada November 1989, Wuornos melakukan pembunuhan pertamanya dengan membunuh seorang lelaki yang menumpangkannya menaiki kereta. Perbuatan itu mencetuskan rangkaian keganasan apabila dia terus mengambil nyawa sekurang-kurangnya lima lelaki lain.
Akhirnya, Wuornos ditangkap dan didapati bersalah, lalu dijatuhi hukuman mati. Wuornos, yang dikaitkan dengan masalah mental, dihukum mati melalui suntikan maut pada tahun 2002.
3. Juana Barraza
Dilahirkan pada tahun 1957 kepada ibu yang mengalami masalah alkohol, kehidupan Juana Barraza berubah menjadi gelap apabila dia menjadi salah seorang pembunuh bersiri di Mexico.
Dia mencapai kejayaan sebagai ahli gusti profesional kerana saiz dan kekuatannya yang luar biasa. Namun, terdapat sisi gelap yang tersembunyi di sebalik penampilan tersebut.
Antara tahun 1998 dan 2006, Barraza menyasarkan wanita warga emas, meragut nyawa antara 42 hingga 48 mangsa. Kekejamannya ini menyebabkan dia digelar ‘Pembunuh Wanita Tua’.
Selama bertahun-tahun, pihak berkuasa percaya bahawa pelakunya adalah lelaki sehingga Barraza ditangkap pada Januari 2006 ketika melarikan diri dari tempat pembunuhan terbarunya.
Barraza disabitkan dengan 16 tuduhan membunuh dan dijatuhi hukuman penjara 759 tahun.
4. Leonarda Cianciulli
Antara tahun 1939 dan 1940, Leonarda Cianciulli mengejutkan Itali dengan jenayahnya.
Dia menyasarkan tiga jiran wanita pertengahan umur, membunuh mereka dan kemudian menggunakan mayat mereka untuk membuat kuih dan sabun. Tindakan mengerikan ini menyebabkan dia digelar ‘Pembuat Sabun Correggio’.
Kejahatan Cianciulli didorong oleh kepercayaan karut yang melampau. Dia percaya keluarganya dikutuk akibat perkahwinannya dengan lelaki yang tidak direstui oleh ibu bapanya. Terdesak untuk mematahkan sumpahan itu, dia terpaksa melakukan perbuatan jenayah tersebut.
5. Darya Saltykova
Darya Saltykova, seorang bangsawan Rusia pada abad ke-18, menjadi terkenal sebagai pembunuh bersiri yang kejam.
Dilahirkan dalam kemewahan dan keistimewaan, dia berkahwin dengan keluarga Saltykov yang terkenal dan mewarisi harta yang banyak selepas kematian suaminya. Namun, Saltykova adalah seorang yang kejam dan jahat.
Dia bertindak zalim terhadap hambanya, terutamanya wanita, dengan mendera mereka sehingga menyebabkan banyak kematian. Perbuatannya dilindungi oleh statusnya sebagai wanita kelas atasan sehingga Permaisuri Catherine II campur tangan.
Perbicaraan Saltykova mendedahkan butiran mengejutkan tentang jenayahnya, termasuk sebanyak 140 kematian mencurigakan yang dikaitkan dengannya. Didapati bersalah atas 38 pembunuhan, Saltykova menghadapi cabaran unik kerana hukuman mati telah dimansuhkan di Rusia. Oleh itu, dia hanya dipenjara seumur hidup di bilik bawah tanah sebuah biara di Moscow sehingga meninggal dunia pada tahun 1801.