Sempena ulang tahun perkahwinan, suami isteri tunggang motosikal BMW jelajah 40 masjid beri sumbangan RM1,000

Photo of author

By Syima Iza

Sempena ulang tahun ke-20 perkahwinan, pasangan suami isteri ini memilih mencipta ‘kenangan berpahala’ dengan menjelajah 40 masjid di seluruh Semenanjung Malaysia dan memberikan sumbangan.

Ahli perniagaan, Mohamed Khairul Anuar Mohd Basri, 44, dan isteri Yuhana Abdul Rahman, 44, akan singgah di 40 masjid untuk menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada semua masjid atau surau sepanjang lapan hari tempoh penjelajahan yang dinamakan Kembara Amal Bermotor 2024.

Pasangan suami isteri itu memulakan kembara itu semalam dengan menunggang motosikal jenis BMW.

Sempena ulang tahun perkahwinan, suami isteri tunggang motosikal BMW jelajah 40 masjid beri sumbangan RM1,000

Mohamed Khairul Anuar berkata, dalam waktu mencipta kenangan bersama isteri tercinta, mereka mahu sesuatu yang bermanfaat dan pahala.

“Kita tak nak seronok-seronok saja, kita nak buat sesuatu untuk kenangan, namun pada masa sama kenangan meraih pahala berpanjangan.

“Alhamdulillah, setakat dua hari ini kami sangat seronok singgah di masjid dan berkenalan dengan ramai orang,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia sudah singgah dan memberikan sumbangan kepada tujuh masjid setakat semalam dan hari ini.

Beliau memberitahu, semua persiapan sudah dilakukan dan mengikut jadual mereka akan berhenti di masjid setiap hari dengan mengisi tabung derma mengikut nilai yang ditetapkan itu.

Ditanya sama ada wang sumbangan itu hasil simpanannya atau sebaliknya, bapa kepada empat anak itu berkata, wang itu hasil sumbangan teman rapat dan juga pengikut media sosialnya.

“Sebaik saya memaklumkan niat untuk menjelajah itu, ramai rakan turut memberikan sumbangan untuk disampaikan di masjid yang akan kami singgah.

“Kami bersyukur kerana dapat menjadi ‘orang tengah’ antara penyumbang dan pihak masjid dan berharap dapat menampung perbelanjaan Ramadan,” katanya.

Katanya, idea menjelajah menggunakan motosikal itu turut dipersetujui isteri yang sememangnya mempunyai minat sama untuk melancong di samping memberi manfaat kepada golongan sasaran.

Destinasi pertama pasangan itu adalah Negeri Sembilan, diikuti Melaka dan Johor sebelum mengakhiri penjelajahan di utara Semenanjung.

Baca Juga:

*”Walaupun grammar berterabur, tapi English dia semakin baik” – Netizen kagum Sajat dah pandai English!
Wanita Aceh ‘sekolahkan’ rakan sekampung kerana kutuk Malaysia
Gambar Maula Al-Amin dijual RM22.55 di platform e-dagang