Selepas tular video ‘perang mulut’ antara dua individu, Lembaga Maktab Mahmud nafi wujud kartel

Photo of author

By Syima Iza

Lembaga Maktab Mahmud menafikan dakwaan kononnya terdapat kartel dalam lembaga itu seperti ditularkan dalam media sosial, baru-baru ini.

Pengerusinya, Mohd Azam Abd Samat berkata, isu yang dibangkitkan adalah tidak berasas.

“Merujuk kepada penularan video menerusi beberapa platfom media sosial sejak 25 April (Khamis) lalu, berkaitan dua video bertajuk ‘Kartel politik Maktab Mahmud Sakau Projek Belasan Juta?’ dan ‘Lembaga Maktab Mahmud Problem’, kami ingin menegaskan sekeras-kerasnya tuduhan yang ditularkan melalui video terbabit adalah tidak benar sama sekali.

Selepas tular video 'perang mulut' antara dua individu, Lembaga Maktab Mahmud nafi wujud kartel

“Laporan polis sudah dibuat pada 28 April oleh pengurusan Lembaga Maktab Mahmud bagi menafikan tuduhan itu dan tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak yang memuat naik dan menyebarkan video terbabit,” katanya pada kenyataan, malam tadi.

Beliau yang juga EXCO Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri berkata, tiada kewujudan kartel politik seperti yang ditularkan dalam video pertama dan isu pertukaran kakitangan yang dibuat oleh pengurusan Lembaga Maktab Mahmud adalah demi kepentingan jabatan.

Selain itu, katanya, Lembaga Maktab Mahmud menafikan tuduhan berkaitan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dinyatakan di dalam video berkenaan.

“Manakala video kedua berkaitan isu pertengkaran antara kakitangan Lembaga Maktab Mahmud yang tular sejak 26 April (Rabu) lalu adalah video lama. Ia berlaku pada 5 Oktober 2023 dan pernah tular pada tahun lalu.

“Video yang ditularkan semula itu sudah disunting dan diubah suai daripada video sebenar serta tiada kakitangan yang diturunkan pangkat seperti yang dinyatakan.

“Pengurusan Lembaga Maktab Mahmud sudah mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu berkenaan,” jelas beliau.

Sebelum ini, tular video berdurasi tiga minit 42 saat memaparkan ‘perang mulut’ antara dua individu di sebuah institusi.

Video itu turut memaparkan beberapa dakwaan termasuk kartel daripada sebuah parti politik menguasai Lembaga Maktab Mahmud, Kedah.

“Kartel ini mengawal projek-projek cawangan Maktab Mahmud di seluruh Kedah bernilai jutaan ringgit.

“Kartel ini sangat berkuasa sehingga boleh menukar, pindah, berhentikan, bekukan mana-mana staf sesuka hati mereka,” menurut petikan kapsyen dalam video itu.

Baca Juga:
Pelanggan mengamuk tak bagi straw paksa pengurus kafe melutut minta maaf
Lima sekeluarga muntah berbuih, mata anak berlalak selepas makan kuih
Diselubungi pelbagai misteri, ini 12 lokasi di dunia yang dilarang untuk dilawati