Selepas tular video menjolok mata konsert ‘Loy Krathong’ di Bachok, ketua sami tampil beri penjelasan.
Ketua Sami Wat Pathumvihar di Kampung Balai, Bachok, tampil memberi penjelasan berhubung kontroversi persembahan nyanyian dan sambutan Loy Krathong yang berlangsung pada 25 Nov lalu yang didakwa menyajikan persembahan yang mencolok mata.
Dalam satu tulisan panjang di Facebook, CM Chee yang mengakui “sangat susah hati” antara lain menyatakan rasa bimbangnya berhubung isu persembahan konsert di wat berkenaan.
“Saya khuatir isu akan menjadi lebih besar, dan mengeruhkan suasana harmoni di antara kaum di Kelantan, dan memberi imej yang tidak baik kepada Wat Pathumviharn,” katanya.
Menurut Chee, sambutan perayaan utama kaum Siam yang dipanggil Loy Krathong itu dilakukan sejak 29 tahun lalu di Wat Pathumviharn, dan dianggap oleh masyarakat sebagai satu acara tahunan yang meriah.
“Persembahan nyanyian di kalangan masyarakat Siam merupakan satu acara yang istimewa, dan ramai masyarakat muda Siam yang akan tertarik dan datang ke wat, kerana (ia) hanya diadakan sekali setahun.
“Kami amat mengalu-alukan kehadiran anak muda Siam ke wat kerana dengan cara ini mereka boleh bergaul dengan sami-sami, mereka boleh belajar sedikit amalan agama, dan banyak lagi aktiviti lain yang mereka boleh lakukan di sini, dan yang paling penting mereka tidak akan berasa janggal untuk datang ke wat.
“Di samping itu, persembahan nyanyian meriah dan menggembirakan sedikit sebanyak boleh melegakan tekanan hidup mereka,” katanya, hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas rakaman video yang ditular memaparkan persembahan nyanyian dan tarian yang didakwa sesetengah pihak sebagai tidak sesuai kerana memperlihatkan pakaian penyanyi serta penari dalam keadaan tidak memenuhi Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan.Susulan itu, terdapat pihak yang menggesa supaya kerajaan negeri melakukan siasatan.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hilmi Abdullah menjelaskan acara itu berlangsung selepas mendapat permit kerajaan Kelantan dan mengikut syarat yang ditetapkan.
Bagaimanapun katanya, berlaku “pelanggaran” peraturan namun ia membabitkan pengunjung luar yang menyertai sambutan Loy Krathong tersebut.
Menurut Hilmi, penganjur program tersebut – yang diadakan di Wat Pathumviharn, Bachok – membuat hebahan melalui poster menggunakan bahasa Thailand dan dimaklumkan ia adalah majlis tertutup.
Sementara itu mengulas lanjut Chee berkata dengan adanya acara seperti itu, golongan muda kampung Siam boleh belajar untuk bergaul dengan orang ramai, melihat telatah orang ramai, belajar untuk bergembira, belajar untuk berkawan, melihat sendiri baik dan buruk orang
Yang penting jelasnya, pengalaman ini dipelajari di dalam pagar wat, dipagar oleh adat, budaya dan agama.
“Pengalaman ini akan dibawa oleh mereka ke alam realiti, bagi masyarakat Siam di sini, selain daripada belajar agama, wat juga merupakan tempat belajar menghadapi Kehidupan dan mendewasakan diri.
“Kami mahu melihat anak-anak kaum Siam berlari seiring dengan kaum-kaum lain, tidak ketinggalan dari segi pemikiran dan pengalaman. Kami amat berharap semua pihak faham bahawa semua acara keagamaan, acara nyanyian, acara kebudayaan, permainan tradisional dan lain-lain yang kami adakan, semua bermatlamat untuk kebaikan kaum Siam dan penganut agama Buddha,” katanya.
Tambahnya, pihaknya memberikan penghargaan kepada kerajaan yang amat memahami keadaan mereka masyarakat Siam dan penganut agama Buddha di Kelantan.
“Kita rakyat Kelantan memang terkenal dengan semangat bersepakat, walaupun berlainan pendapat, berlainan agama, tetapi sifat hormat-menghormati sudah diajar kepada kami sejak sekian lama.
“Kami amat berharap semua pihak tidak lagi mengeruhkan air yang sudah lama jernih, kerana apabila air sudah keruh, semua orang tidak akan nampak apa-apa, tiada tujuan untuk digapai,” kata Chee.
Antara yang membidas konsert itu, adalah Wanita PKR Kelantan yang mahu kerajaan negeri segera menyiasat penganjuran konsert itu.
Ketuanya Nor Azmiza Mamat berkata berdasarkan maklumat yang diterima konsert terbabit membabitkan persembahan artis dari Thailand, Thungpang Chanoknan, yang dimeriahkan pula dengan penari latar berpakaian seksi.
Loy Krathong merupakan sambutan tahunan masyarakat Siam yang majoritinya merupakan penganut Buddha.