
Selepas tular roti canai janda, kini roti canai ‘Anak dara’ pula memikat selera
Selepas tular roti canai janda, kini roti canai ‘Anak dara’ pula memikat selera. Mahu membantu dan meneruskan perniagaan ibu bapa mendorong seorang gadis di Kampung Sungai Tiang Darat di sini, belajar menebar roti canai di kedai makan milik keluarganya.
Nurul Asyikin Noorazizi, 19, belajar membuat dan menebar roti canai daripada bapanya, Noor Azizi Habib, 60, dan dibantu ibunya, Suhainiza Aderus, 47, sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, selepas bersekolah dia mengambil alih tempat bapanya sebagai penebar roti canai.
“Saya kasihan melibat bapa keletihan kerana tak cukup tidur demi perniagaan yang diusahakan selain menjaga nenek yang sudah uzur.
“Saya belajar dengan bapa bersungguh-sungguh menebar roti canai sehingga sekarang semua boleh buat. Dalam sehari saya dapat menebar hingga 400 keping roti mulai pukul 6.30 hingga pukul 10 pagi.
“Saya bersyukur kerana roti canai di warung kami mendapat sambutan, pelanggan menggelarkan warung ini sebagai roti canai anak dara. Saya tiada masalah dengan gelaran itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Suhainiza berkata, setakat ini hanya Nurul Asyikin dan kakaknya, Nurul Ain, 24, yang memiliki kemahiran menebar roti canai.
Katanya, jika Nurul Asyikin berehat, kakaknya Nurul Ain menggantikannya menebar roti canai.
“Saya bersyukur sebab anak-anak membantu kami meneruskan perniagaan ini. Ramai pelanggan yang mengusik mereka, bergurau apabila anak dara buat roti canai beraksi di kuali. Saya tak kisah usikan mereka, itu perkara biasa bagi saya,” katanya.