Selepas tular budak terjatuh dari kereta, ini cara lock pintu kereta belakang yang ramai tak tahu.
Membawa penumpang kanak-kanak semasa memandu merupakan satu cabaran yang sukar buat para ibu bapa. Selain perlu memberi fokus kepada pemanduan, mereka juga terpaksa memerhatikan tindak tanduk anak-anak mereka.
Apatah lagi jika anak-anak berada di kerusi penumpang belakang, pergerakan mereka bertambah sukar untuk diawasi.
Ditambah pula dengan sifat ingin tahu kanak-kanak yang tinggi menyebabkan mereka cenderung untuk menyentuh pelbagai butang pada pintu kereta.
Antara kekhuatiran seorang ibu atau ayah adalah anak dibelakang menyahkunci dan membuka pintu secara tiba-tiba ketika kenderaan sedang bergerak.
Sekiranya perkara tersebut berlaku, anak-anak boleh tercampak ke jalan raya dan risiko untuk dilanggar hingga membawa kepada kecederaan atau kematian amat tinggi.
Oleh itu, terdapat teknologi yang diwujudkan untuk menambah ciri keselamatan pada kereta sekali gus, memberikan nafas lega kepada ibu bapa.
Cara nak hidupkan fungsi child safety lock
Seorang pengguna TikTok, Azri (@azritajudin) telah menerangkan fungsi Child Safety Lock dalam satu hantaran video di akaunnya.
@azritajudin Child Safety Locks. Pada anak² yang suka dok buka lever pintu suka hati, lock lever pon skli dibuka.. Boleh guna cara ini. #fyp #fypシ #tipskereta #tipstiktok #tipsandtricks #soncinautomobile #mazdasungaipetani #mazdakedah #mazdamalaysia ♬ Sunrise – Official Sound Studio
Jelasnya, fitur ini boleh dikatakan ada pada semua kereta pada zaman moden. Menurut Google Patents, bahagian ini telah dipatenkan pada 7 Jun 1949 oleh Joseph M. Schumann.
Fitur ini apabila dihidupkan, dapat menghalang pintu dibuka daripada dalam biarpun sudah dinyahkunci.
Menurut Azri, fitur tersebut sangat mudah untuk diaktifkan. Ibu bapa hanya perlu menolak satu butang yang ada pada bahagian pintu dan menutup pintu berkenaan seperti biasa.
Selepas berbuat demikian, pintu hanya dapat dibuka daripada luar sahaja. Jadi, tiada ruang untuk anak-anak membuka pintu daripada bahagian dalam ketika dijalan raya.
Bang, tapi bukan ke kereta dah auto-lock ke?
Fungsi auto lock adalah untuk mengunci pintu kereta secara serentak pada masa yang sama dari tempat duduk pemandu.
Sungguhpun begitu, Azri menyifatkan fungsi auto lock tidak begitu efektif jika dibandingkan dengan fungsi Child Safety Lock.
Hal ini kerana, pintu kereta belah belakang masih dapat dibuka apabila kunci pintu dinyahaktif. Walaupun pada mulanya pemandu sudah mengunci semua pintu keretanya dengan menggunakan auto lock.
Berbeza pula dengan Child Safety Lock, penumpang pada bahagian belakang masih tidak dapat membuka pintu dari belah belakang walaupun kunci sudah dibuka.