Selepas tabur abu jenazah suami di pantai, pelakon Jennifer Coppen buat majlis tahlil di rumah anak yatim.
Selepas ‘menaburkan’ abu jenazah suami, Dali Wassink, di Pantai Lembeng, Gianyar, Bali pada Ahad lalu, pelakon Jennifer Coppen kini meneruskan hidup sebagai ibu tunggal bersama anak perempuannya, Kamari.
Sedang melalui fasa bersedih, Jennifer turut dilihat rajin mengirimkan doa untuk arwah suaminya yang meninggal dunia pada 18 Julai lalu.
Anak Yatim
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Jennifer memanjangkan doa kepada suami menerusi bacaan tahlil yang dilakukan oleh anak-anak yatim piatu.
“Sayang, aku sudah kirim doa lagi menerusi anak-anak yatim piatu. Bismillah semoga sampai ke kamu ya, doanya,” tulis Jennifer.
Selain itu, Jennifer turut mendedahkan sejumlah alasan mengapa dia tidak mengadakan majlis bacaan tahlil di rumahnya sendiri.
“Buat yang tanya, kenapa tidak buat majlis tahlil di rumah, maaf ya, semuanya sebab memang yang beragama Islam tak ramai dalam keluarga kita.
Dan jauh buat anak-anak yatim untuk datang ke rumah. Saya akhirnya memutuskan untuk laksanakan di sana (rumah anak yatim) sahaja,” tulisnya.
Untuk rekod, Dali Wassink meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya di Kuta, Bali. Dali meninggal dunia ketika berusia 22 tahun.