Selepas namanya dikaitkan dalam sidang media Agus, Wahab, ini reaksi Chegu Bard.
Selepas dirinya turut dikaitkan dalam sidang media oleh Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, berhubung rakaman video berunsur lucah malam tadi, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, menyifatkan penjelasan diberikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi (J-KOM) sangat mengelirukan.
Badrul Hisham yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, menyifatkan isu berkenaan semakin rumit, selain mempersoal sama ada rakaman video yang tersebar itu antara lain mengesahkan wujud masalah di Agus dan beberapa individu di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Menerusi kenyataan di Facebook, beliau menasihatkan Muhammad Agus supaya berhenti ‘melondehkan’ lebih banyak maklumat berhubung rakaman berdurasi lebih tiga minit yang di muat naik di laman sosialnya, kelmarin.
Beliau menggesa Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang turut serta dalam sidang media bersama Mohammad Agus malam tadi, mendedahkan identiti Mr H, selain menegaskan akan mengemukakan saman, jika mendakwa beliau adalah individu bertanggungjawab menyebarkan rakaman video terbabit.
“Mohammad Agus bukan sahaja menampilkan Wahab, malah mengesahkan video berkenaan benar. Wahab mengaku rakam, cuma tanpa audio. Rakaman ‘video call’ tanpa audio, lucu juga alasannya. Wahab mengaku dia diupah Mr H, yang juga kakitangan J-KOM.
“Wahab mengaku video ini benar tetapi mengatakan ia sudah dikerat (dipotong). Video asal yang panjang kita harap Wahab berani keluarkan.
“Siapa pula Mr H, adakah dia orang di bawah pengaruh PMO ingin singkir Mohammad Agus? Siapa Mr H? Jika wujud dan benar Mr H lakukan jenayah? Berapa dia (Mr H) upah Wahab untuk rakam dan berapa pula Mohammad Agus upah Wahab untuk mengaku?,” katanya.
Beliau mengulas sidang media Mohammad Agus dan Abdul Wahab yang juga Penolong Pegawai J-KOM merangkap Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hulu Langat, susulan panggilan video berunsur lucah didakwa mengaitkan mereka yang tular di media sosial.
Rakaman itu didakwa palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab, dikatakan bertujuan menjatuhkan reputasi Mohammad Agus.
Abdul Wahab dipetik mengakui merakamnya, namun isi perbualan bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial, selain mendakwa rakaman video berunsur lucah terbabit adalah konspirasi Mr H yang identitinya tidak didedahkan.
Sementara itu, Chegu Bard memuat naik rakaman terbabit di platform media sosialnya, selepas mendakwa klip video berkenaan sudah pun tersebar, bertujuan mendapatkan maklum balas berhubung ketulenannya.