Selepas kena kritik, pakaian baharu kontinjen Olimpik Malaysia corak belang Harimau ‘lebih garang’ dapat pujian

Selepas kena kritik, pakaian baharu kontinjen Olimpik Malaysia corak belang Harimau ‘lebih garang’ dapat pujian

“Inilah baru nampak ganas, lebih sesuai dijadikan pakaian rasmi atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024. Tidaklah seperti baju sukan sekolah sebelum ini. Pemilihan corak dan warna sangat memainkan peranan.”

Itu antara reaksi orang ramai selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersetuju untuk menambah baik rekaan baharu yang menampilkan corak belang Harimau ‘lebih garang’ di Olimpik Paris 2024.

Terdahulu, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan berkata, reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam dengan belang harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di bahagian hadapan serta belakang jaket.

Selepas kena kritik, pakaian baharu kontinjen Olimpik Malaysia corak belang Harimau ‘lebih garang’ dapat pujian

Tegas Norza, rekaan baharu tersebut turut melibatkan perubahan pada logo MOM dengan Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna bendera Malaysia diiringi lima gegelung Olimpik, yang dipaparkan pada corak terdahulu.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati ramai yang memuji pemilihan reka corak baharu ini meskipun ada beberapa elemen yang boleh ditambah baik pada masa akan datang.

“Masih boleh diterima. Nampak lebih menonjolkan identiti Malaysia. Untuk masa akan datang, mungkin boleh bermain dengan warna agar ia nampak lebih segar sebagai atlet sukan,” cadang Nazri.

“Barulah terbaik dan mantap sebagai pakaian kebangsaan Malaysia untuk atlet Olimpik,” kata Isma Daniel.

“Kali ini nampak garang, nak berlawan di persada dunia, kita bawa satu gambaran bahawa atlet negara kita hebat. Jadi sangat perlu pakaian yang melambangkan kehebatan. Yang pertama hari itu, bolehlah dipakai jalan-jalan malam di Paris,” ujar Kemmby.

Sebelum ini, pelbagai pandangan dan kritikan diluahkan peminat sukan tanah air yang berasa tidak puas hati selepas melihat pakaian rasmi yang bakal disarung oleh atlet negara ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Sejak Majlis Pelancaran Hari Olimpik Malaysia yang diadakan Ahad minggu lalu, rata-rata netizen mempersoalkan rekaan baju berkenaan yang disifatkan ‘menyakitkan mata’ dan setaraf sukan sekolah.

Baca Juga:
Tular warga emas berborak dengan kucing kesayangan buat ramai terhibur
Mulia sungguh pakcik ini sanggup buka baju dan bagi kepada gelandangan
Rumah agam arwah Sharifah Aini punyai 9 bilik tidur, 7 bilik air dirobohkan
CATEGORIES