
Selepas kecoh MP Kuala Kangsar isytihar sokong Anwar, Hamzah dakwa Dzulkarnain diugut
Selepas kecoh MP Kuala Kangsar isytihar sokong Anwar, Hamzah dakwa Dzulkarnain diugut.
Perikatan Nasional (PN) percaya Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut, susulan wakil rakyat Bersatu itu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung Hamzah Zainudin mendakwa Iskandar didatangi seorang ahli perniagaan pada 26 Sept yang menjanjikan habuan wang dan kedudukan dalam beberapa syarikat serta mendesak beliau menyokong menyokong perdana menteri; dan pada 1 Okt, dia bertemu seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan “diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah” sekiranya enggan tandatangan kenyataan sokong kerajaan.
“Adalah dipercayai bahawa intimidasi dan ugutan inilah yang digunakan ke atas Ahli Parlimen Kuala Kangsar bagi mendapat sokongan agar kerajaan kembali memperoleh sokongan 2/3 majoriti di Parlimen,” katanya.
Hamzah berkata Iskandar dalam pertemuan dengan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin “kelihatan amat tertekan akibat intimidasi” tetapi hujahnya semalam “amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti”.
“Perikatan Nasional mengambil maklum ketetapan Mesyuarat Biro Politik Bersatu untuk memanggil Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Semalam, Iskandar menerusi kenyataan, berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
Sambil menegaskan tidak akan mengkhianati Bersatu, Iskandar berkata dia tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terus terbiar dan ketinggalkan semata-mata perbalahan naratif politik biarpun berdepan risiko tindakan disiplin.