Selepas bergelar Datuk, ramai panggil Imuda ‘Datuk Budin’.
Imuda, 65, yang menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk semalam turut dipanggil sebagai ‘Datuk Budin’ iaitu watak lakonannya dalam sitkom popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada era 1990-an.
Terdahulu, Imuda antara 103 penerima anugerah itu sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Pulau Pinang, semalam.
Imuda atau nama sebenarnya, A Rahim Muda ketika dihubungi berkata, anugerah Datuk itu amat istimewa buatnya kerana ia diterima daripada TYT Pulau Pinang, sekali gus menyifatkan ia penghormatan dari negeri kelahirannya.
“Alhamdulillah, sebagai anak jati Pulau Pinang, tentulah saya amat berbangga dan terharu menerima penghargaan istimewa serta penghormatan sangat bermakna ini selepas 40 tahun berkecimpung dalam karier seni.
“Apatah lagi, saya bukan saja aktif berlakon, tetapi dikenali juga sebagai pelawak, pelukis dan kartunis. Sampai sekarang pun, Alhamdulillah saya masih lagi mendapat tawaran berlakon dan sibuk dengan pelbagai urusan kerja.
“Cuma, sekarang ini saya tidak hanya dipanggil Datuk Imuda, tetapi ramai yang dah memanggil ‘Datuk Budin’ walaupun itu watak lakonan saya dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Alhamdulillah, orang tak pernah lupa dan masih terus ingat watak itu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut bapa empat anak ini, dia okay saja jika dipanggil ‘Datuk Budin’ kerana faham penerimaan ramai terhadap watak itu yang disifatkan cukup dekat di hati masyarakat Malaysia dari dulu sampai sekarang.
“Saya hargai saja panggilan ‘Datuk Budin’ itu kerana Pi Mai Pi Mai Tang Tu kini boleh ditonton di saluran YouTube dan platform OTT. Penayangan sitkom itu masih berterusan walaupun karyanya sudah lama.
“Maklum balas daripada penonton juga masih amat baik dan ramai orang yang tetap sukakannya lagi. Saya amat berterima kasih dengan sokongan-sokongan diberikan itu,” katanya.
Imuda memulakan kerjayanya sebagai pelukis pada 1978 dengan syarikat penerbitan di Pulau Pinang, sebelum melebarkan sayap bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pembantu pelukis.
Karya kartunnya banyak disiarkan di majalah Gila-Gila seperti Yushimura dan Maharajalela vs Birch selain di Berita Minggu dan Gelihati.
Beliau mula menceburi lakonan pada 1980-an dengan membintangi teater, drama dan filem.
Sepanjang kerjaya dalam dunia seni lakon, Imuda pernah membintangi puluhan filem popular antaranya Mekanik, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal, Mat Gelap, Mat Som dan banyak lagi.