Peminat sukan bola sepak Malaysia mencadangkan agar para pemain menggunakan khidmat pengawal peribadi selepas kejadian yang menimpa bintang Selangor FC dan pasukan kebangsaan, Faisal Halim, serta pemain Terengganu FC (TFC), Muhammad Akhyar Abdul Rashid.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati bahawa ramai orang menggesa penggunaan perkhidmatan tersebut serupa dengan yang digunakan oleh pemain bola sepak di luar negara.
“Lepas Akhyar sekarang Faisal Halim. Apa toksik sangat komuniti bola sepak Malaysia. Padanlah pemain bola sepak luar negara pasang pengawal peribadi,” kata seorang pengguna aplikasi X.
“Semoga polis dapat menangkap pelaku secepat mungkin. Semuanya ‘target’ pemain Malaysia. Semoga pemain yang lain berhati-hati dan seharusnya ada pengawal peribadi. Selepas Akhyar Rashid dan kini Faisal Halim pula jadi mangsa. Allahuakbar,” kata seorang pengguna Facebook.
“Mereka mengincar bintang-bintang sahaja. Harap selepas ini pemain-pemain memasang pengawal peribadi dengan lebih berjaga-jaga,” komen seorang lagi pengguna Facebook.
Kosmo! melaporkan bahawa pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim, dilaporkan menjadi mangsa serangan asid yang didakwa berlaku di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, hari ini.
Beberapa hari yang lalu, Muhammad Akhyar cedera selepas dipukul dengan sebatang besi oleh dua lelaki dalam kejadian samun di bawah sebuah apartmen tempat tinggalnya di Kuala Terengganu, Terengganu.
Baca Juga: