Selepas 5 tahun, kucing ini kembali semula kepada tuannya. Anda peminat kucing? Teruskan membaca kisah seekor kucing bernama Willow ini. Walaupun ceritanya sudah lama, namun ia tetap menarik untuk dibaca.
Willow merupakan seekor kucing, berbulu campuran putih, hitam dan oren. Ia dijaga baik oleh tuannya. Namun pada tahun 2006, Willow terpisah dengan tuannya. Kucing comel ini telah hilang semasa dibawa bersama mengunjungi kawasan pergunungan Rocky di Colorado, Amerika Syarikat.
Kisah kehilangan Willow ketika itu telah menarik perhatian ramai rakyat Amerika Syarikat. Tuannya juga melakukan pelbagai usaha untuk menjejaki Willow, tetapi semuanya gagal.
Ketika tidak lagi terlihat ada harapan untuk Willow ditemui, siapa sangka beberapa tahun kemudian kucing ini akhirnya kembali ke pangkuan tuannya. Selama lima tahun Willow hilang, sebelum ia berjaya ditemui semula pada tahun 2011.
Penemuan Williow turut mendapat liputan media. Kucing ini dikesan berkeliaran di kaki lima di sekitar jalan bandar Manhattan, New York. Jarak kedudukan di antara lokasi ia dijumpai dan rumah tuannya dianggarkan kira-kira 2,575 kilometer.
Haiwan ini bernasib baik kerana mempunyai pengenalan yang dipasang pada bahagian leher oleh tuannya. Secara tidak langsung, ia menandakan bahawa Willow merupakan kucing peliharaan dan memudahkan cara untuk mengesan tuannya semula.
Di sebalik kisah gembira penemuan kucing ini, terselit juga bagaimana kesukaran yang terpaksa diharungi Willow sebelum dapat bertemu semula dengan tuannya. Sukar untuk membayangkan bagaimana Willow meneruskan hidup sepanjang hampir lima tahun bergerak dari tempat ia dilaporkan hilang sehinggalah ke lokasi kucing ini ditemui semula.
Kehilangan Willow terbongkar sebaik seorang lelaki menghubungi pasangan suami isteri, Jamie dan Chris Squires yang merupakan pemilik kucing tersebut. Ketika di bawah jagaan sementara lelaki itu, kucing berkenaan diberi nama Molly.
Sebaik menerima panggilan, pasangan Squires sangat terkejut dengan berita penemuan itu. Jamie dan Chris Squires seolah-olah tidak percaya bahawa kucing kesayangan mereka yang telah bertahun hilang masih hidup lagi.
Mereka berdua mengakui telah melakukan pelbagai usaha bagi mengesan kucing tersebut. Mereka juga telah mengiklankan poster tertera ‘Lost Cat’ di dalam laman web Craigslist. Malangnya, pasangan berkenaan masih tidak mendapat sebarang khabar berita mengenai haiwan kesayangan mereka itu.
Disebabkan itu, Jamie dan Chris telah berputus harap dan menganggap Willow telah mati. Tidak mustahil Willow telah dimakan oleh binatang buas lain di kawasan pergunungan Rocky iaitu lokasi terakhir kucing ini dilaporkan hilang.
Namun selepas lima tahun, pasangan ini telah menerima satu panggilan dari Pusat Penjagaan Haiwan dan Kawalan Bandar New York. Ia berkenaan penemuan seekor kucing difahamkan milik pasangan itu di sebuah lokasi yang terletak di 20th Street.
Pihak di pusat perlindungan haiwan itu telah mengirimkan sekeping gambar Willow untuk tujuan pengesahan sama ada ia benar-benar milik pasangan tersebut. Sekali saja melihatnya, Jamie dan Chris terus mengenali itulah kucing kesayangan milik mereka yang dicari selama ini.
Menurut pengarah pusat perlindungan haiwan tersebut, Julie Bank, identiti pemilik Williow telah dikenal pasti hasil ujian imbasan di bahagian badan haiwan tersebut. Jelasnya, Willow bernasib baik kerana pemiliknya sebelum ini telah memasukkan sejenis cip pengesanan.
Alat ini berfungsi sebagai pemberi maklumat yang mengandungi identiti lengkap haiwan peliharaan. Jika berlaku kes kehilangan ia akan memudahkan pihak tertentu menjejaki lokasi semasa haiwan itu berada.
Pertemuan semula Willow bersama tuannya telah diadakan di sebuah hotel di New York. Majlis penyatuan semula itu turut dihadiri media tempatan. Penemuan semula Willow dengan tuannya juga diibaratkan bagai satu keajaiban oleh para pencinta haiwan.