Selepas 3 tahun, kucing jantan ini tetap setia ziarah pusara tuannya

Photo of author

By Syima Iza

Selepas 3 tahun, kucing jantan ini tetap setia ziarah pusara tuannya. Kisah kucing jantan diberi nama Nana pernah tular tiga tahun lalu kerana kesetiaannya mengunjungi pusara pemiliknya, Allahyarham Ab Aziz Ismail di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paloh di sini.

Sehingga kini, Nana yang berusia sembilan tahun masih dengan rutin yang sama namun tidak sekerap dulu.

Ia kerana Nana tidak sihat seperti dulu malah tidak berselera makan selepas terbabit dalam kemalangan pada akhir 2021.

Berkongsi perkembangan terkini, menantu kepada Allahyarham Ab Aziz, Norhazlin Mohamat Nozi, 27, berkata, Nana masih dipelihara oleh mentuanya, Hasnah Che Amat, 70.

Selepas 3 tahun, kucing jantan ini tetap setia ziarah pusara tuannya

Bagaimanapun, adik iparnya, Azfar Abd Aziz, 30, membantu menjaga Nana ketika kerana ibu mentuanya menunaikan umrah di Tanah Suci.

“Dulu Nana memang sihat malah sering ikut kami ke tanah perkuburan untuk ziarah pusara ayah dan ada ketikanya, Nana pergi sendirian.

“Entah macam mana, Nana terbabit dalam kemalangan dan kami sekeluarga hanya tahu selepas Nana pulang ke rumah dengan mulut berdarah.

“Selepas itu, kami ada bawanya ke klinik veterinar untuk dapatkan rawatan dan doktor maklumkan keadaannya okay cuma nampak dia tak aktif macam dulu malah banyak tidur. Ia juga ada kaitan dengan usianya yang sudah tua,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Walaupun keluarganya tidak banyak berkongsi perihal Nana, Norhazlin berkata, masih ada yang ambil tahu mengenai kucing berkenaan.

“Selalunya orang kampung yang akan tanya mengenai Nana jika dah lama tak nampak Nana.

“Mana tidaknya, ayah selalu bawa Nana bersama ke masjid dulu jadi orang kampung sudah kenal Nana.

“Apa pun, kami sekeluarga bersyukur kerana Nana masih ada dengan kami dan tidak pernah hilang,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro pernah melaporkan kisah Nana yang dilihat mengunjungi pusara terletak kira-kira lima meter dari rumah pemiliknya setiap pagi.

Selain menziarahi kubur, Nana turut menghabiskan masa di atas kereta peninggalan selain buaian yang menjadi tempat kegemaran pemiliknya.

Nana dijaga keluarga berkenaan sejak dilahirkan dan menjadi haiwan kesayangan Ab Aziz yang meninggal dunia pada Julai 2018, akibat komplikasi buah pinggang

Baca Lagi:
‘Hebat Tok Mek nie’ – Nenek hafal permulaan ayat setiap juzuk Al-Quran buat ramai kagum
Wanita ini pergi kerja naik kereta Bentley walaupun kerja sebagai pencuci pinggan
Lelaki ini beli gelang emas raya guna duit syiling dalam tabung dapat pujian netizen