Polis telah menahan seorang lelaki selepas menyamar sebagai wanita untuk bernikah dengan pasangannya di Cianjur, Jawa Barat, baru-baru ini.
Memetik laporan Portal detik.Com, helah ‘wanita’ itu terbongkar selepas mereka berkahwin selama 12 hari.
Menurut laporan tersebut, suami yang berusia 26 tahun itu tidak pernah mengetahui bahawa pasangannya adalah lelaki, walaupun mereka sebelum ini menjalin hubungan selama setahun.
Bagaimanapun, selepas berkahwin, lelaki itu mula curiga kerana ‘si isteri’ tidak mahu melakukan hubungan intim, tidak mahu bergaul dengan ahli keluarga dan masyarakat.
Sementara itu, siasatan polis tempatan mendapati ‘wanita’ itu tidak kelihatan seperti lelaki, terutamanya kerana dia sentiasa berpakaian wanita dan bersolek.
Gambar perkahwinan juga menunjukkan si ‘isteri’ dengan rupanya seperti wanita.
Suaranya juga dilaporkan lembut dan ini menyebabkan lelaki itu tidak pernah meragui identiti sebenar pasangannya.
Selepas jantina sebenar ‘wanita’ itu terbongkar, keluarga lelaki membuat laporan sebelum ‘isterinya’ itu ditahan polis.
Ketika ditahan, ‘wanita’ itu berdolak-dalik, namun soal siasat terhadap bapa individu terbabit mengesahkan jantina sebenarnya.
Situasi itu amat mengejutkan keluarga lelaki kerana dia dan ‘isteri’ dinikahkan dengan persetujuan wali hakim.
Wanita itu sebelum ini melaporkan bahawa ayahnya tidak dapat dikesan menyebabkan mereka berkahwin dengan wali hakim.