Selalu tengok rakan lain dilawati mak ayah, 2 pelajar anak yatim piatu menangis ada insan sudi melawat di asrama. Seperti menyambut kehadiran bapa kandung, dua remaja lelaki berlari-lari dari blok asrama sebaik melihat kelibat guru kesayangan mereka sedang menunggu di kantin sekolah.
Sebaik menghampiri, kedua-duanya lantas mencium tangan dan berpelukan dengan si guru, sambil air mata laju mengalir ke pipi kerana terlalu rindu.
Begitulah akrabnya hubungan antara remaja berkenaan dengan guru kesayangan mereka yang sudah dianggap seperti bapa sendiri.
Video pertemuan penuh hiba itu yang dikongsikan di laman sosial turut membuatkan rata-rata warga maya sebak seakan-akan dapat merasai kerinduan yang ditanggung dua remaja berkenaan.
Berkongsi cerita dengan mStar, guru bernama Ahmad Farhan Zainudin itu berkata, video tersebut dirakam ketika dia hadir menziarahi dua bekas pelajarnya yang kini menetap di asrama selepas melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.
“Seorang bekas pelajar saya itu berstatus yatim piatu, seorang lagi pula kematian ibu. Mereka baru masuk tingkatan satu dan menetap di asrama.
“Sewaktu mereka sekolah rendah, saya memang banyak menghabiskan masa dengan mereka lebih-lebih lagi kerana status sebagai anak yatim. Memang anggap macam anak sendiri.
“Mereka ini datang dari keluarga bukan orang senang, dibesarkan oleh nenek serta ibu saudara.
“Baru-baru ini ketika mereka mendaftar masuk ke sekolah berasrama, saya tak sempat menjenguk kerana ada urusan. Jadi sekarang ini saya tergerak nak ziarah mereka.
@cikgupaan92 Cikgu datang ziarah ni 🥲 #teacher #teacherlife #school #student #fyp #fypage #foryoupage ♬ original sound – Cik Puan Gojes
“Saya tak beritahu nak datang. Bila sampai asrama, saya minta seorang pelajar panggilkan mereka konon ada pelawat. Itu yang mereka berlari dan menangis. Saya pun sebak sekali,” ujarnya.
Menurut Ahmad Farhan yang juga guru di SK Syed Sheh, Baling, Kedah, dalam lawatan singkat itu, dia banyak bertanyakan soal pelajaran dan kehidupan sebagai pelajar asrama kepada dua remaja berkenaan.
“Mereka cakap tak sangka cikgu datang. Dalam pada itu, mereka beritahu rindu nak ziarah kubur ibu bapa dan ibu masing-masing.
“Saya sempat juga beri kata-kata semangat dekat mereka. Bila berjauhan dengan keluarga, mesti rasa rindu lebih-lebih lagi kawan-kawan lain dilawati ibu bapa tapi mereka tak rasa itu,” ujar guru berusia 31 tahun ini.
Melihat keakraban antara guru ini dengan bekas pelajarnya, secara tidak langsung pasti ada yang tertanya-tanya, apakah perkara yang ada pada dirinya sehingga menjadi kesayangan murid.
“Mudah saja… saya anggap pelajar seperti anak sendiri. Sebenarnya bukan mereka berdua saja, semua murid saya layan sama rata. Tak ada beza antara kaya miskin, kelas pandai atau kelas belakang.
“Mereka ni budak kampung. Budak kampung ni lain, mereka ini sangat menghargai apa yang kita beri walaupun sekecil-kecil benda. Bagi saya, passion sebagai guru itu bukan hanya mengajar tapi rapat dengan pelajar.
“Saya banyak habiskan masa buat aktiviti dengan mereka seperti mandi sungai, beriadah, pergi perpustakaan, belanja makan dan pergi jalan-jalan. Pendek kata, hubungan akrab kami di dalam dan luar kelas,” katanya sambil menambah, dia sendiri tidak menyangka diberi Anugerah Guru Mesra Murid daripada guru besar di sekolahnya, baru-baru ini.
Tidak menyangka videonya meraih lebih 147,000 jumlah tontonan, Ahmad Farhan berkata dia hanya sekadar mahu mengabadikan kenangan di laman sosial.
“Saya rakam dan upload di media sosial sebagai kenang-kenangan. Masa sunting video ni pun rasa sebak.
“Apa yang boleh saya kongsikan daripada video ini, sebagai guru, kita kena letakkan niat kerana Allah.
“Lagi satu, bila tengok kehidupan pelajar-pelajar saya ni, ia sebenarnya banyak buka mata… ia mengajar kita lebih bersyukur dan ajar kita untuk lebih memberi,” akhirinya.