“Sehari belanja RM5.94sen”- Wanita ini mampu beli 3 buah rumah mewah setelah 15 tahun hidup berjimat.
Kisah seorang wanita yang berjaya memiliki tiga buah rumah di Jepun dengan berjimat-cermat selama hampir 15 tahun telah tular semula, lapor South China Morning Post.
Saki Tamogami, yang kini berusia 39 tahun, pernah muncul dalam rancangan televisyen Jepun Happy! Bomb Girl dan berkongsi perjalanan hidupnya dalam mengumpul wang untuk merealisasikan impian tersebut.
Ketika pertama kali muncul dalam rancangan itu, Tamogami berkongsi cara berjimat untuk membeli rumah pertamanya. Sejak berusia 19 tahun, beliau telah mula berjimat dalam perbelanjaan dengan matlamat untuk memiliki tiga buah rumah dan bersara lebih awal.
Selepas tamat pengajian, Tamogami bekerja di sebuah syarikat hartanah. Dia mengakui hanya membelanjakan 200 yen sehari (bersamaan RM5.94) untuk makan.
Langkah ini bukan sahaja menjimatkan wang, tetapi juga mengurangkan penggunaan air, membolehkannya membayar bil air yang rendah. Masakannya juga sangat ringkas, seperti nasi dengan potongan ikan salmon, udon dengan kuah kosong, atau lobak putih (daikon) yang dibeli dengan harga diskaun.
Dalam rancangan tersebut, Tamogami mendedahkan bahawa dia berjaya membeli rumah pertamanya yang mempunyai tiga bilik tidur dengan harga 10 juta yen selepas sembilan tahun menjalani kehidupan berjimat-cermat. Dengan menyewakan dua bilik lagi kepada penyewa, beliau berjaya menambah pendapatan beberapa puluh ribu yen setiap bulan.
Walaupun memperoleh pendapatan tambahan, Tamogami tetap berjimat dan tidak membeli perabot baru. Sebaliknya, kesemua perabot di rumahnya diperoleh daripada barangan terpakai yang dibuang di tepi jalan.
Dalam rancangan yang sama, Tamogami mengejutkan pengacara dengan mendedahkan rancangannya untuk membeli rumah kedua dalam masa beberapa tahun lagi.
Empat tahun kemudian, rancangan televisyen tersebut kembali menemu bual Tamogami, dan beliau telah berjaya membeli rumah keduanya yang bernilai 18 juta yen (bersamaan RM535,744.80). Dengan menyewakan kesemua bilik di rumah tersebut, pendapatan bulanannya mencecah kira-kira 400 ribu yen.
Keuntungan besar ini mempermudahkannya untuk membeli rumah ketiga bernilai 37 juta yen pada tahun 2019, ketika usianya baru mencecah 34 tahun.
Walaupun memperoleh pendapatan yang lumayan dari sewaan ketiga-tiga rumahnya, Tamogami masih mengekalkan gaya hidup berjimat-cermat. Ini kerana beliau mempunyai satu lagi impian, iaitu membuka tempat perlindungan untuk kucing jalanan.
Pada Mei 2019, impian itu tercapai apabila beliau membuka sebuah kafe kucing bernama Cafe Yuunagi di tingkat bawah rumah ketiganya. Berbeza dengan rumahnya yang dihias menggunakan perabot terpakai, kafe kucing tersebut dilengkapi dengan perabot baru.
Kisah inspirasi Tamogami bukan sahaja mendapat perhatian rakyat Jepun, tetapi juga mencetuskan kekaguman di seluruh dunia apabila ia tersebar di internet.