Sebenarnya abang tolak tak kuat pun, saya salah landing’ – Fasha Sandha pertahankan Azhan Rani. Pelakon Fasha Sandha mendedahkan kemalangan yang berlaku sewaktu adegan dibelasah Azhan Rani sehingga mengakibatkan kecederaan mata kirinya bukanlah berpunca daripada tolakkan kuat aktor tersebut, sebaliknya berlaku atas kecuaian sendiri.
Penjelasan tersebut dikongsi Azhan dalam Instagramnya selepas menerima kiriman mesej suara (voice note) daripada Fasha yang menerangkan kejadian sebenar semasa hari kejadian pada Rabu lalu.
“Abang (Azhan Rani) jangan risau. Orang kata abang tolak kuat, tapi sebenarnya abang tolak tak kuat pun. Video ada abang tolak tak kuat. Cuma andaian orang sahaja. Orang dalam industri takt ahu abang bukan tolak betul-betul pun.
“Cuma ‘acting’ sahaja, saya yang tolak badan sendiri dan landing (terjatuh) di tempat yang salah. Benda dah berlaku nak buat macam mana. Saya tak mahu orang salahkan abang,” kata Fasha.
Sementara itu, menerusi hantaran terkini Azhan, pelakon berusia 47 tahun itu telah berkongsi video semasa menziarahi Fasha di hospital dan bertemu dengan suami kepada aktres tersebut iaitu pelakon, Aidil Aziz.
Kata Azhan, keadaan Fasha semakin baik dan dalam proses untuk sembuh sepenuhnya, berkat doa daripada ramai pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraannya.
“Insya-Allah dia (Fasha) dalam proses menyembuhkan diri dan semakin baik, berkat doa yang tidak putus-outus daripada semua.
“Maaf saya tidak berminat untuk ulas apa-apa buat masa ini, biar Fasha sendiri yang jelaskan selepas dia sihat dan pulih 100 peratus,” ujar Azhan.
Sedar dirinya dikecam selepas dituduh menjadi punca kecederaan yang dialami pelakon cantik itu, Azhan berkata dia tidak kisah dengan pandangan dan kecaman yang diterima daripada pelbagai pihak andai perkara itu boleh melegakan hati mereka.
“Buat masa ini saya raikan sahaja apa juga pandangan, kecaman atau tohmahan. Lepaskan sahaja pada saya andai itu boleh melegakan.
“Cuma jangan lupa titipkan doa buat pasangan pelakon saya, Fasha Sandha agar kembali pulih seperti biasa,” katanya.
Dalam video yang dikongsikan, kelihatan Azhan berani tampil bersemuka dengan Aidil dan mengucapkan terima kasih kerana menerima kunjungannya.
“Terima kasih juga Aidil kerana menyantuni kami (termasuk kru drama) yang sentiasa di sisi dari mula kemalangan sehingga hari ini.
“Berilah ruang buat Fasha berehat. Semoga hantaran ini mampu meredakan emosi semua. Teruskan berdoa,” katanya.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap Azhan apabila berani tampil bersemuka dengan keluarga Fasha selain percaya bahawa kemalangan yang berlaku itu tidak disengajakan.
“Kedua-duanya profesional. Terbaik saling memahami dan memaafkan. Semoga Fasha cepat sihat,” kata seorang netizen.
“Fasha sendiri tidak salahkan Azhan. Orang lain pula yang lebih-lebih,” kata seorang lagi pengguna Instagram.
“Aku dah agak Azhan tolak tak kuat. Tapi orang lain yang menggelupur kecam dia,” ujar seorang pengikutnya.
Terdahulu, Fasha Sandha mengalami kecederaan pada mata kirinya selepas terhentak pada bucu katil sewaktu menjalani penggambaran sebuah drama di selatan tanah air.
Disebabkan kemalangan tersebut, Fasha, 39, mengalami patah tulang mata kiri selain pendarahan bebola matanya, bengkak dan sedang dirawat di salah sebuah hospital pakar di Johor Bahru.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan wakil kepada Fasha dalam Instagramnya, bahawa pelakon itu mengalami kecederaan ketika sedang menjayakan satu babak pergaduhan bersama aktor Azhan Rani untuk drama berjudul Anak Tuan arahan Along Kamaludin.
View this post on Instagram