Sebar gambar bogel punca lelaki dibunuh, mayat ditanam.
Tidak berpuas hati berkaitan penyebaran gambar bogel rakan suspek oleh mangsa, dipercayai penyebab pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan ditanam di kawasan belukar di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Choh, Rawang di sini, pada 23 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan itu, polis menahan lapan suspek terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita, berusia antara 19 sehingga 46 tahun.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman selama 13 hari mulai 24 Disember lalu hingga esok bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Selangor dan sudah mendapat arahan tuduh ke atas enam suspek yang mana dua dituduh mengikut Seksyen 201 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan iaitu kesalahan melupuskan barang bukti.
“Lima orang suspek dituduh mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama iaitu kesalahan bunuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Difahamkan, seorang daripada suspek akan dituduh dengan dua pertuduhan iaitu melupuskan barang bukti dan bunuh.
Noor Ariffin berkata, dua suspek lain dibebaskan dan mereka dijadikan saksi pendakwaan.
“Kesemua suspek akan dituduh di mahkamah Selayang pada hari ini di mana motif kejadian adalah tidak puas hati berkaitan penyebaran gambar bogel rakan suspek oleh mangsa.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga berjaya menangkap suspek,” katanya.
Harian Metro 24 Disember lalu melaporkan, perselisihan faham menemui pengakhiran yang tragis apabila seorang lelaki mati dibunuh di Sungai Choh, Rawang.
Mayat mangsa dikatakan ditanam di belakang rumah mereka bagi menyembunyikan kejadian itu daripada pihak berkuasa.
Polis menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mengesan mayat dan menggali keluar mayat, pada 5 pagi.