‘Saya temui banyak kecurangan dalam fail Kementerian Kewangan’ – Anwar

Photo of author

By Syima Iza

‘Saya temui banyak kecurangan dalam fail Kementerian Kewangan’ – Anwar. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat banyak kecurangan yang dianggap keterlaluan di Kementerian Kewangan (MOF).

Beliau berkata, kecurangan itu dilihat ketika menyemak fail-fail di kementerian terbabit.

“Namun urusan untuk menyiasat bukan urusan saya. Urusan saya adalah menetapkan dasar dan menegakkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.

'Saya temui banyak kecurangan dalam fail Kementerian Kewangan' - Anwar

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu di Dewan Senat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Khamis.

Anwar berkata, perkara tersebut disentuh kerana beliau mahu penjawat awam memahami bahawa ketelanjuran tidak harus berterusan.

“Sebagai contoh, projek tebatan banjir adalah hal mendesak dan ia akan diluluskan tanpa tender bagi memudah dan menyegerakan projek tersebut kerana ia melibatkan keselamatan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, budaya kesederhanaan yang dilakukannya bermula dari peringkat atasan kerana adalah tidak adil untuknya menyergah pejabat daerah atau negeri terlebih dahulu.

“Tetapi di peringkat Persekutuan budaya itu kekal bobrok.

“Saya hadir ke Terengganu tadi bukan untuk mencerca sesiapa, tetapi untuk berpakat demi kepentingan rakyat,” katanya.

Anwar juga mengingatkan semua pegawai kanan dan ketua jabatan kerajaan Persekutuan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua negeri.

Oleh itu katanya, layanan kepada setiap negeri adalah setara dan saksama.

“Insya-ALLAH saya akan ketemu kerajaan Terengganu setelah suhu politik dileraikan.

“Saya turut memberitahu perkara tersebut kepada Tuanku Sultan Terengganu dalam sesi menghadap pagi tadi,” katanya.

Beliau juga menyeru penjawat awam agar menerapkan prinsip akauntabiliti demokrasi dalam mendirikan kebijakan yang baik untuk rakyat.

“Kita sebagai pembuat dan pelaksana dasar tidak harus bersikap leka dan mesti buat sedaya upaya untuk memungkinkan perubahan,” katanya.

Anwar amat berharap agar semua dapat menghormati pilihan yang telah dibuat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan hentikan sentimen politik yang keterlaluan serta merosakkan.

Baca Lagi:
Saya akan sokong Anwar jika terpilih sebagai Presiden Umno – KJ
Masih ramai suami tak tahu ‘Rahsia’ bodek isteri, cuba 5 teknik ini..pasti isteri sayang!
Wanita ditampar suami gara-gara tak bagi pinjam kereta