“Saya tak tahu dia berada di sana” – Meerqeen nafi bercuti bersama Ameera Khan di Bali.
Pelakon Meerqeen telah menjawab dakwaan bahawa dia bercuti bersama personaliti media sosial, Ameeera Khan, di Bali, Indonesia baru-baru ini.
Hanya kebetulan
Menjelaskan kekeliruan yang timbul, Meerqeen, 23, atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, berkata bahawa pada masa itu dia sedang berada di set penggambaran drama terbaharunya, Uncle Boss Mama, dan secara kebetulan pihak produksi menggunakan ‘props’ yang menyerupai suasana di Bali.
“Ini sangat kelakar, saya tak pernah cerita pun kepada orang tentang ini. Saya ada penggambaran ketika itu, dan set yang disediakan oleh produksi drama seakan-akan Bali.
“Jadi, apa salahnya kalau saya memuat naik gambar ketika di set penggambaran tersebut. Tiba-tiba Ameera pun memuat naik gambar dia di Bali. Tetapi saya tidak tahu keberadaannya di sana.
“Saya kongsikan gambar tersebut sebab pihak produksi buat set yang sama seperti Bali. Tak ada kena-mengena dengan Ameera,” jelasnya ketika ditemui oleh Gempak.
Meerqeen berkata demikian dalam sesi temu bual bersama pelakon Baby Boss Mama di Astro, Bukit Jalil.
Perlu jelaskan demi menjaga nama baik Ameera
Meerqeen turut menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk mencetuskan sebarang kontroversi, namun merasakan perlu tampil memberikan penjelasan bagi menjaga nama baik Ameera.
“Saya tak ada niat untuk cetuskan spekulasi, tapi bila orang kaitkan dengan saya, saya terkejut.
“Apa yang saya buat semuanya menjadi buah mulut orang. Saya tak kisah apa yang orang cakap, tapi saya perlu jelaskan demi menghormati Ameera.”
Status hubungan dengan Ameera
Meerqeen juga memaklumkan bahawa dia dan adik kepada pelakon serta usahawan Neelofa itu tidak mempunyai hubungan istimewa dan mereka hanya saling mengenali sejak lama.
“Saya dengan dia hanya berkawan. Saya kenal dia sejak saya mula masuk industri lagi. Kami pernah menjalani sesi fotografi bersama.
“Selepas itu kami mula berkawan, namun perhubungan kami tidak lebih daripada itu,” jelasnya.
Bagaimanapun, Meerqeen menyatakan bahawa selepas ini dia akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakannya.
“Semua perkara yang saya buat, saya harus ambil langkah berjaga-jaga. Ada yang perlu dibuat, ada yang tidak.
“Orang boleh bercakap apa yang mereka mahu,” tambahnya.
Spekulasi bercuti di Bali
Pada Julai lalu, timbul spekulasi bahawa Meerqeen dan Ameera bercuti bersama di Bali apabila pantulan wajah Meerqeen terlihat pada pisau dalam sebuah foto yang dimuat naik oleh Ameera.
Ameera bagaimanapun menjelaskan bahawa dia ke Bali bersama sepupunya, Aisha, serta pengawal peribadi dan pemandu.
Ameera turut memberitahu bahawa dia sudah mempunyai teman lelaki yang kini berada di London.
Ini bukan kali pertama mereka dikaitkan. Tahun lalu, mereka juga pernah dikatakan bercinta apabila dilihat menghadiri acara pertunjukan fesyen di Paris dan saling memuat naik foto di Instagram masing-masing.