Penyanyi Datin Alyah, 43, tidak pernah membuka dan memeriksa telefon bimbit milik suaminya yang juga maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS sepanjang sedekad usia perkahwinan mereka.
Alyah atau Noor Hasliah Abu Hasan berkata, dia selesa menyerahkan segala urusan rumah tangganya itu kepada Allah dengan banyak berdoa memohon perlindungan Yang Esa.
“Saya tak boleh nak jangka masa depan saya. Apa yang boleh dikatakan, saya banyak belajar daripada pengalaman. Kalau kita kawal dia (suami) pun, kalau ada tetap ada.
“Jadi, saya selalu kalau suami keluar atau saya keluar (bekerja) saya memang tinggalkan Al-Fatihah serta ayat Kursi untuk saya. Itu saja dan yang ke depan-depannya, saya tak tahu.
“Itulah yang saya buat dan tanyakan pada emak saya. Malah, saya juga memang tidak pernah buka telefon suami dan saya pun tak pernah terfikir nak buka atau periksa sebab yakin Allah Maha Tahu,” kata Alyah ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Two Me yang melantiknya sebagai duta di sebuah hotel di Petaling Jaya, di sini, semalam.
Alyah ditanya media berhubung tindakannya sama ada sering memantau aktiviti suami atau tidak berikutan Ramli yang sering bekerjasama dengan kebanyakan penyanyi wanita sebagai konduktor muzik terkenal.
Menurut Alyah, sebagai isteri pastinya akan selalu dilindungi Allah sekiranya dianiaya kerana doa orang teraniaya akan dimakbulkan dan amat bersyukur sehingga kini rumah tangganya dan Ramli tidak berhadapan masalah.
Mengulas juga dirinya yang dilantik duta produk pada usia mencecah 40-an, Alyah berkata, dia menganggap itu sebagai rezeki, ditambah dengan karier selaku anak seni memerlukannya menjaga kecantikan dan penampilan.
“Ini antara rezeki saya pada 2024. Apatah lagi, saya memang suka dengan produk kecantikan untuk penampilan diri sebagai selebriti. Terima kasih kepada pengasas produk, Datuk Suraya Semaru sebab memilih saya.
“Tawaran duta produk ini diberikan kepada saya sangat singkat, tapi saya berminat sebab sudah cuba sendiri menggunakan produk Two Me ini sejak beberapa bulan lalu. Produk ini juga sesuai untuk wanita dan lelaki,” katanya.
Penyanyi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang dan Jutaan Purnama ini mendirikan rumah tangga dengan Ramli yang berasal dari Singapura pada Mac 2013 dalam sebuah majlis secara rahsia di Indonesia.