Bekas pembantu kepada usahawan selebriti terkenal Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Melati Abdul Ghani akan meneruskan perjuangan biarpun tanpa bantuan peguam. Melati, menerusi hantaran di media sosialnya, menjelaskan bahawa dia yang tidak berkemampuan akan menyerahkan segalanya kepada Allah.
“Saya memang tak ada wang ringgit untuk mengupah peguam pada Khamis ini. Saya akan berjuang tanpa peguam.
Saya memang tiada apa sekarang tapi saya ada Allah. Apa-apa keputusan pada Khamis ini saya hanya berserah pada Allah. Laa Haula Wa Laa Quwatta Illa Billah. Semoga dipermudahkan amin,” tulisnya.
Terdahulu, Aliff meluahkan rasa syukur kerana menang saman fitnah yang difailkan isterinya, Datin Seri Nur Shahida terhadap bekas pembantu peribadi mereka iaitu Melati.
Sementara itu, peguam yang mewakili Aliff dan Shahida akan meneruskan tindakan penghinaan mahkamah oleh Melati dan akan dipanggil semula untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam secara fizikal pada Jumaat ini. Malah, pihak Aliff juga mahu Melati dikenakan hukuman penjara.
Untuk rekod, pada 29 Mei lalu, Melati tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Shahida atas fitnah yang dilakukan kira-kira lima tahun lalu.