“Saya rasa macam menang Piala Dunia” – Pemilik gerai Sup Meletup

Photo of author

By Syima Iza

“Saya rasa macam menang Piala Dunia” – Pemilik gerai Sup Meletup. “Rasa macam menang Piala Dunia,” itu reaksi pemilik gerai Sup Meletup, Zolkhoari Abdul Aziz apabila premisnya di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini dikunjungi Perdana Menteri hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah menjamu selera di gerai yang terkenal dengan pelbagai jenis hidangan sup itu sebelum bergerak ke Masjid Saidina Othman Ibn Affan, Bandar Tun Razak untuk menunaikan solat Jumaat.

Zolkhoari, 50, berkata, berita mengenai kehadiran Perdana Menteri ke gerainya telah dimaklumkan oleh seorang pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua hari lepas dan sejak itu, perasaannya sentiasa berdebar.

“Saya rasa macam menang Piala Dunia” – Pemilik gerai Sup Meletup

 

“Sejak mula berniaga pada 2002, kami tidak pernah membayangkan seorang yang bergelar pemimpin nombor satu negara akan singgah dan menikmati ‘air tangan kami’.

“Apabila nampak sahaja Datuk Seri Anwar turun dari kereta dan berjalan masuk ke gerai kami, hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya…rasanya macam menang Piala Dunia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Perdana Menteri beredar.

Zolkhoari berkata, bagi memastikan kelancaran operasi gerainya ketika kunjungan Perdana Menteri, beliau telah meminta bantuan 10 pekerja daripada dua lagi premis miliknya di tempat lain untuk membantu 10 orang pekerja sedia ada.

“Saya cukup tersentuh dan bangga melihat Perdana Menteri berselera menghabiskan bihun sup yang dihidangkan selain turut merasai keenakan sata dan juga sate yang merupakan antara killer menu gerai kami,” katanya.

Dalam pada itu, Zolkhoari yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja Medan Selera Bandar Sri Permaisuri berkata, pada kesempatan itu beliau turut mengemukakan permohonan kepada Anwar untuk meluaskan tempat parkir kenderaan serta menambah bumbung pada ruang terbuka di hadapan premis yang beroperasi di medan selera tersebut.

Baca lagi :
Bergson bagi ‘Hint’ pemain terkenal Chile bakal sarung jersi JDT musim depan
Bapa kandung potong kemaluan anak 5 tahun ketika tidur
Mat Saleh kongsi video tak puas hati dengan sistem KLIA dikecam netizen Malaysia