Lebuh raya Timur Barat merupakan laluan utama yang menghubungkan penduduk dari Pantai Barat ke Pantai Timur.
Titik permulaan lebuh raya ini adalah Gerik, Perak dengan perjalanan sepanjang 215 kilometer (km) yang berakhir di Jeli, Kelantan.
Walaupun begitu, lebuh raya ini sering dikaitkan dengan insiden mistik disebabkan lokasinya yang melalui kawasan hutan simpan di tengah Semenanjung Malaysia.
Baru-baru ini, cerita seorang wanita yang melalui Lebuh Raya Timur Barat pada waktu malam menjadi viral di laman TikTok, di mana dia mengalami ujian bertimpa-timpa.
Wanita itu berkata kisahnya bermula apabila dia melalui kawasan cerun bukit yang sedang terbakar disebabkan cuaca kering, satu pemandangan yang sangat menakutkan.
“Saya dah serik nak guna jalan Gerik-Jeli, tak akan lalu lagi dah selepas ni. Ini kali pertama saya lalu Lebuh Raya Timur Barat.
“Sebelum ni ada beberapa orang dah beritahu yang jalan tu ‘keras’. Tapi saya macam susah nak percaya, jadi saya cuba juga lalu sendiri. Ini padahnya.
“Pada hari kejadian, saya dan kawan mula memasuki Lebuh Raya Timur Barat sekitar pukul 12 tengah malam, hati dah rasa tak sedap waktu tu, macam ada sesuatu yang buruk akan berlaku.
“Ternyata firasat saya betul, waktu naik Bukit Gerik kami dah ‘disajikan’ dengan suasana hutan terbakar, di bahagian kiri dan kanan jalan. Dah la ketika tu kereta saya seorang je yang ada dekat situ,” cerita wanita tersebut.
Wanita itu bagaimanapun dapat bernafas lega apabila melihat jentera bomba sudah bersedia untuk memulakan operasi pemadaman api beberapa kilometer di hadapan.
Jalan Gerik-Jeli memang tidak digalakkan untuk dilalui pada waktu malam.
Namun mimpi ngeri wanita tersebut tidak berakhir di situ apabila dia bertemu dengan haiwan liar yang mengancam keselamatannya.
“Selepas melalui bukit yang terbakar, sementara menuju ke Jeli, kami bertemu dengan gajah hampir enam ekor. Seolah-olah berada di zoo, ada gajah di tepi jalan dan ada juga yang duduk di tengah jalan.
“Saya tak sempat nak rakam sebab dalam keadaan panik. Syukur semua selamat. Dan insiden terakhir, mungkin sukar untuk dipercayai tapi ini yang saya saksikan.
“Dalam keadaan berkabus kerana asap kebakaran hutan, saya terserempak dengan sebuah kereta dan saya nampak ada sesuatu terbang di atas bumbungnya. Saya tidak dapat melihat dengan jelas tetapi saya yakin itu bukan benda semula jadi.
“Berhati-hatilah kepada sesiapa yang pulang ke kampung pada tahun ini,” ujarnya mengakhiri ceritanya.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya turut berkongsi pengalaman ketika menggunakan Lebuh Raya Timur Barat.