Saya cabar JAIPs ambil tindakan sivil – Ustaz Wadi Annuar. Penceramah bebas Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub mencabar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) untuk mengambil tindakan sivil terhadap dirinya.
Perkara itu ditegaskan Mohamad Wadi susulan makluman dibuat JAIPs mengatakan kenyataan beliau adalah tidak benar.
“Malam tadi kenyataan media JAIPs berkaitan dengan siasatan terhadap kenyataan saya pada 2 Mei adalah jauh tersasar dari realiti yang berlaku.
“Maka saya pada hari ini menegaskan bahawa kenyataan kami benar dan sekiranya JAIPs yakin kenyataan kami jauh tersasar dari realiti sebenar.
“Saya mencabar JAIPs pada hari ini untuk tindakan sivil terhadap mana-mana individu yang terlibat ataupun terhadap saya sendiri,” katanya menerusi klip video yang dimuat di Twitter hari ini.
Terdahulu, Mohamad Wadi mendakwa sesi mengambil keterangan di Pejabat JAIPs itu gagal berikutan beliau tidak dibenarkan tampil bersama dua peguamnya iaitu Mohd. Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh.
Mohd. Jamil dilaporkan berkata, anak guamnya sudah pun memenuhi arahan untuk tampil seperti yang dijanjikan namun pelbagai hak termasuk mendapatkan peguam ketika sesi temubual dinafikan JAIPs.
Bagaimanapun, JAIPs memaklumkan bahawa kenyataan Mohamad Wadi adalah tidak benar dan mendakwa penceramah tersebut telah ‘menghilangkan diri’ dari bilik siasatan
Difahamkan, Mohamad Wadi dipanggil JAIPs berhubung kes mengajar tanpa tauliah di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang di Kangar, bulan lalu.