
“Saya bukan nak tunjuk hero” – Anggota JPJ yang dirempuh motosikal kongsi kisah sebenar
“Saya bukan nak tunjuk hero” – Anggota JPJ yang dirempuh motosikal kongsi kisah sebenar.
“Saya bukan nak tunjuk hero, saya tidak menahannya, penunggang motosikal itu yang datang ke arah saya,” kata anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dirempuh ketika sekatan jalan raya (SJR), pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Muhammad Nur Hakim Mohd Razip, 29, berkata, penunggang itu pada mulanya sudah memperlahankan motosikal, namun tiba-tiba memecut.
“Ketika kejadian, SJR dijalankan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di laluan dua lorong. Satu lorong khas untuk pemeriksaan motosikal manakala lorong kanan untuk pemeriksaan kereta.
“Saya berada di lorong kanan dan sedang memeriksa kereta. Kami sudah nampak lelaki itu memperlahankan motosikalnya dan lalu di lorong motosikal, namun secara tiba-tiba dia memecut dan menukar arah ke lorong kereta sebelum merempuh saya,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Bapa empat anak itu berkata, dia bersyukur tidak mengalami kecederaan parah meskipun melambung selepas dirempuh penunggang motosikal berusia 25 tahun itu.
“Dalam video kejadian, dapat dilihat saya memegang kaki dan cuba bangun, tetapi rasa sakit. Pada masa itu memang fikiran saya kosong dan tidak tahu apa yang berlaku.
“Selepas membuat x-ray, doktor memaklumkan tiada tulang yang patah atau kecederaan parah lain. Terdapat tisu koyak di bahagian belakang kepala dipercayai terhentak pada jalan selain bibir koyak kerana terhantuk topi keledarnya.
“Kaki kiri juga ada calar, bengkak dan rasa sakit kerana dipercayai terkena tayar motosikal,” katanya yang kali pertama mengalami kemalangan ketika bertugas selama tujuh tahun berkhidmat dengan JPJ.
Katanya, dia bukan sengaja mahu menahan penunggang motosikal itu atau sanggup mempertaruhkan nyawa sebaliknya dia tidak sempat mengelak kerana penunggang secara tiba-tiba menukar haluan dan memecut.
Sementara itu, mengulas kesesuaian lokasi operasi, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya mengambil kira semua faktor sebelum mengadakan SJR di mana-mana lokasi.
“Kami sudah melihat dari segi susunan sekatan, jumlah anggota yang terbabit, keselamatan dan keadaan jalan serta mengikut prosedur standard operasi yang ditetapkan.
“Kebanyakan lokasi SJR adalah tempat yang sering diadakan operasi bukan sahaja JPJ, malah agensi lain. Dalam kejadian ini, penunggang itu sendiri yang menunggang dalam keadaan bahaya,” katanya.