‘Satu Bilik 280 Orang’- Rakyat Malaysia kongsi pengalaman kena penjara di Narathiwat selama 6 bulan kes dadah.
Seorang rakyat Malaysia yang pernah ditangkap kerana disyaki memiliki dadah di Thailand berkongsi pengalaman dan suasana ketika beliau dipenjarakan di Penjara Narathiwat selama sembilan bulan pada tahun 2015.
Menerusi perkongsian di Live TikTok Abe Mung Jahit, beliau memberitahu bahawa kira-kira 280 penghuni ditempatkan dalam satu unit yang hanya seluas dua bilik darjah.
Abe Mung Jahit, atau nama gelarannya Zul, 32 tahun, ditangkap bersama sembilan rakannya di sebuah hotel di Golok kerana memiliki dadah jenis syabu, namun jumlah dadah tersebut tidak dinyatakan.
“Antara yang berbeza dengan penjara di Malaysia, setiap banduan di sini tidak dibenarkan keluar kecuali atas sebab tertentu. Tapi di sana, pada pukul 7 pagi, semua banduan dilepaskan untuk keluar,” katanya.
“Di sana, kita akan bertemu dengan semua jenis orang, sama ada yang tua atau muda. Kes-kes berat seperti bunuh dan senjata api juga dilepaskan sekali,” tambahnya.
Walaupun ditempatkan bersama pelbagai jenis banduan, Zul berkata keadaan di Penjara Narathiwat adalah bersih dan terurus.
Namun, beliau juga menceritakan pengalaman ngeri ketika menyaksikan salah seorang banduan ditikam di bahagian bahu semasa pergaduhan.
“Di dalam penjara ini, senjata pun ada. Dari sekecil jarum hingga sebesar kapak, semuanya ada. Oleh sebab itu, banduan yang melakukan jenayah berat di luar akan dipisahkan,” jelasnya.
Zul turut berkongsi pengalaman ketika menghadiri perbicaraan kesnya secara dalam talian. Beliau hanya dibawa ke mahkamah semasa keputusan hukuman dijatuhkan.
“Semasa kes saya berjalan, setiap 12 hari sekali, kami perlu duduk di hadapan skrin untuk bercakap dengan mahkamah. Hanya apabila hukuman perlu dijatuhkan, barulah kami dibawa ke mahkamah,” katanya.
Zul akhirnya dibebaskan dari Penjara Narathiwat selepas memenangi kes tersebut pada September 2015.
“Selepas salah seorang daripada kami mengaku bahawa barang (dadah) itu miliknya, kami sembilan orang masih perlu berjuang di mahkamah untuk membuktikan kami tidak bersalah. Yang mengaku itu dijatuhi hukuman empat tahun enam bulan. Jika kami kalah, mahkamah akan memberikan hukuman dua kali ganda, iaitu sembilan tahun penjara,” tambahnya.
Beliau turut menekankan betapa pentingnya memilih peguam yang berpengetahuan dan memahami kes yang dihadapi.
Zul berharap kisahnya dapat dijadikan iktibar dan pengajaran kepada orang ramai, khususnya golongan muda.