Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor malam ini mengambil kesempatan untuk memohon maaf di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan beberapa menteri Kabinet pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat Kedah.
Muhammad Sanusi menyatakan bahawa permohonan maaf itu adalah bagi ucapan yang kurang sesuai dalam konteks ‘hablumminannas’ semasa beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah dan atas kapasiti politik.
“Sebagai insan yang lemah, keterlanjuran dan kesilapan pastinya ada dalam diri kita masing-masing.
“Semoga pertemuan dalam bulan Syawal yang mulia ini akan menjadi asbab untuk kita memulakan lembaran baru serta sama-sama melangkah dengan hati yang bersih, ikhlas, dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut. ]
Beliau juga menyatakan bahawa kepentingan rakyat harus mengatasi keghairahan untuk mengekalkan kuasa politik dan segala perkara yang bersifat politik sepatutnya hanya dibawa ke medan politik.
Muhammad Sanusi juga berharap agar Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan perhatian dan tidak mengabaikan Kedah.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang telah memberikan perhatian kepada projek-projek pembangunan terutama di kawasan luar bandar Kedah.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beberapa menteri Kabinet, dan kira-kira 15,000 orang.