Sanggup jual tanah, keluar wang KWSP akhirnya ditipu kripto ‘patuh syariah’

Photo of author

By Syima Iza

Sanggup jual tanah, keluar wang KWSP akhirnya ditipu kripto ‘patuh syariah’.

Berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mewujudkan satu syarikat menjalankan pelaburan mata wang kripto kononnya patuh syariah.

Pelaburan itu didakwa mampu meraih keuntungan antara 20 hingga 50 peratus sebulan dengan modal serendah dengan mata wang kripto 200 USDT.

Sanggup jual tanah, keluar wang KWSP akhirnya ditipu kripto 'patuh syariah'

Bagi meyakinkan pelabur, syarikat yang dipercayai didalangi lelaki warga Indonesia itu turut menggunakan profil kononnya ketua pegawai eksekutif (CEO) adalah individu warga Ukraine dan turut mendakwa menjalinkan kerjasama dengan pelbagai bank di luar negara.

Tidak cukup dengan itu, sindiket pelaburan wang kripto itu juga menggunakan pempengaruh bagi mempromosikan orang ramai untuk melabur sehingga ada yang mengeluarkan wang simpanan kumpulan pekerja (KWSP), menjual tanah dan sebagainya yang akhirnya menyebabkan mereka terpedaya dan kerugian.

Sehingga kini, mangsa yang terperdaya dan gagal mengeluarkan wang pelaburan mereka mewujudkan kumpulan WhatsApp dan Telegram dianggarkan sudah mencecah 1,000 orang yang berkongsi maklumat dengan anggaran kerugian sekitar RM11 juta.

Wakil kumpulan mangsa penipuan wang kripto yang ingin dikenali Azhar (bukan nama sebenar), 42, berkata, syarikat yang berselindung di sebalik NGO terbabit baru beroperasi dengan menawarkan pulangan kepada mereka yang ingin melabur.

Menurutnya, dia sendiri mula melabur selepas diperkenalkan oleh rakan sekitar Januari lalu dan tertarik dengan pelaburan kripto itu tambahan mereka meyakinkan ia adalah sah dan bukan berbentuk scammer.

“Bagi meyakinkan kami, mereka juga mengemukakan dokumen mempunyai jalinan kerjasama dengan bank di luar negara dan pelaburan ini juga patuh syariah.

“Mereka juga menunjukkan profil CEO seorang lelaki warga Ukraine apabila akhirnya lelaki itu sendiri tampil membuat kenyataan dia tiada kaitan dengan syarikat terbabit,” katanya.

Katanya, pada awalnya memang wang dilaburkan menggunakan mata wang kripto untuk mendapat pulangan sebagai taktik mereka bagi meyakinkan orang ramai untuk melabur lebih banyak.

“Ada yang mengeluarkan wang simpanan, menjual tanah dan menggunakan duit KWSP untuk melabur namun akhirnya wang itu tidak dapat dikeluarkan.

“Apabila kami bertanya mengapa wang itu tidak boleh dikeluarkan, pihak terbabit memberi alasan sistem mereka diserang virus dan meminta pelabur membeli kad Visa atau Mastercard,” katanya.

Beliau berkata, kononnya dengan menggunakan kad itu, pelabur boleh berbelanja terus dan mengeluarkan wang itu di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Namun sehingga sekarang saya juga tidak dapat memperoleh kad terbabit termasuk rakan-rakan lain yang melabur.

“Saya sendiri kerugian lebih RM300,000, malah ada yang baru pertama kali melabur sudah terpedaya dan tidak langsung dapat mengeluarkan wang itu,” katanya.

Menurutnya, berasa diperdaya mereka sepakat membuat semakan sendiri malah mendapati platform disediakan syarikat terbabit adalah yang tidak mengikut ‘real time’ pasaran seperti yang diperakui sah dan tulen.

“Bank luar negara yang kononnya menjalinkan kerjasama dengan mereka juga didapati palsu kerana pihak bank terbabit menafikannya.

“Setakat ini, saya dan rakan-rakan lain sudah tampil membuat laporan polis dan kami meminta lebih ramai tampil membuat laporan supaya wang yang dilaburkan itu dapat dikembalikan semula,” katanya.

Menurut Azhar, syarikat itu sebenarnya didalangi seorang lelaki warga Indonesia dan menggunakan orang tempatan di sini menubuhkan syarikat dan menjalankan penipuan terbabit.

19 laporan dibuat babit rugi RM2.8 juta

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sudah menerima 19 laporan polis membabitkan penipuan wang kripto yang dijalankan sebuah syarikat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membabitkan nilai kerugian lebih RM2.8 juta.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, syarikat itu adalah platform broker kripto yang menjadi medium antara pelabur dan pasaran.

Menurutnya, pelabur berpeluang untuk berdagang secara automatik menggunakan teknologi AI (auto trade) dengan menjanjikan keuntungan.

“Berdasarkan maklumat, modal pelabur akan dikunci selama 30 hari dan pelabur boleh membuat pengeluaran secara harian yang mana dimasukkan ke alamat deposit eWallet milik pelabur.

“Pelaburan ini diperkenalkan, dipromosikan dan dipresentasikan kepada orang ramai oleh NGO terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Ramli berkata, siasatan ke atas NGO terbabit, mereka tidak tahu siapa pemilik syarikat terbabit dan hanya berhubung melalui emel.

“Oleh kerana NGO ini menawarkan pendidikan berkaitan kewangan, orang ramai yakin dan menyertai pelaburan kripto ni.

“Selepas beroperasi lebih kurang setahun, pelabur mula menghadapi masalah gangguan pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata, pada fasa inilah gambar milik lelaki Indonesia tular di media sosial dan didakwa adalah dalang utama pelaburan kripto itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Baca Lagi:
Diskaun saman trafik sehingga 50 peratus selama 3 hari bermula 8 Disember
‘Guard’ wanita viral di HRPB Ipoh tersenarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada YDP Agong
Instagram Hans Isaac ‘diserang’ peminat gesa baiki segera padang SNBJ sebelum final Piala Malaysia 8 Disember