Mahkamah Sri Lanka telah menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun terhadap seorang sami Buddha yang berpengaruh selepas dia menyebarkan kebencian terhadap penduduk minoriti Muslim di pulau tersebut.
Mahkamah Tinggi Colombo mendapati Galagodaatte Gnanasara bersalah kerana melukai perasaan orang Islam dengan membuat kenyataan yang meremehkan agama Islam semasa sidang akhbar pada tahun 2016.
“Beliau dihukum penjara selama empat tahun dan didenda 100,000 rupee (RM1,561) serta dihantar ke penjara untuk menjalani hukumannya,” kata seorang pegawai mahkamah.
Gnanasara telah dituduh menghasut keganasan terhadap umat Islam di negara yang majoritinya menganut agama Buddha, di mana kira-kira 10 peratus daripada 22 juta penduduknya adalah penganut Islam.
Beliau juga dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Wirathu, seorang sami yang ekstremis berpangkalan di Myanmar.
Ini bukanlah kali pertama Gnanasara dipenjarakan. Pada tahun 2018, beliau dihukum enam tahun penjara atas tuduhan menakutkan isteri seorang kartunis yang hilang dan menghina mahkamah. Walau bagaimanapun, beliau dibebaskan sembilan bulan kemudian setelah mantan presiden, Maithripala Sirisena mengampuninya.
Kemudian, bekas presiden Gotabaya Rajapaksa mengangkat Gnanasara sebagai ketua panel untuk mengesyorkan pembaharuan undang-undang bagi memastikan keharmonian agama di negara tersebut.