Saifuddin dedah dokumen dan gambar warga China ‘So Loi Fat’, Sanusi diminta beri penjelasan

Photo of author

By Syima Iza

Saifuddin dedah dokumen dan gambar warga China ‘So Loi Fat’, Sanusi diminta beri penjelasan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mendedahkan gambar dan beberapa dokumen Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah berkaitan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

Beliau turut mendedahkan gambar Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama individu dikenali sebagai So Loi Fat, yang didakwa seorang daripada dua pekerja dibawa masuk oleh MBI untuk melakukan kerja-kerja eksplorasi di hutan simpan itu.

Saifuddin dedah dokumen dan gambar warga China 'So Loi Fat', Sanusi diminta beri penjelasan

“Saya juga ingin tunjukkan dokumen ikhtisas yang telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Muhammad Sobri Osman. Jadi, di sini memang jelas ada permohonan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) kepada dua pekerja warga China ini yang mana MBI merupakan majikan mereka.

“Memang ada surat daripada Menteri Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif dengan dua warga China ini… saya telah bangkitkan banyak kali tetapi Muhammad Sanusi sering mengubah kepada isu lain. Jadi, saya harap dia ambil tanggungjawab dan jawab semua soalan yang dibangkitkan berkaitan REE,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata semua pendedahan itu adalah untuk memberi gambaran lebih jelas kepada Muhammad Sanusi yang sering membuat kenyataan bahawa beliau sama sekali tidak tahu-menahu mengenai kegiatan mencuri REE itu.

“Penafian Menteri Besar dan Muhammad Sobri mengenai dua warga China itu akan menimbulkan lebih banyak persoalan terutama pada rakyat. Saya juga ambil maklum laporan polis yang telah dibuat oleh Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran MBI, jadi saya alu-alukan supaya siasatan dapat diteruskan.

“Saya juga minta supaya Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah memberi maklum balas mengapa jabatan itu tidak melakukan siasatan berhubung kecurian REE ini… adakah sebab jabatan itu berada dalam Lembaga Penasihat MBI, mereka hendak melindungi sesiapa, jadi saya tunggu jawapan,” katanya.

Saifuddin Nasution turut menyangkal dakwaan Muhammad Sanusi bahawa beliau menggunakan jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk mengerah agensi penguatkuasaan memberi tekanan kepada Menteri Besar Kedah itu.

“Dia sebenarnya memiliki akses untuk mendapatkan maklumat daripada semua agensi di Kedah. Saya yakin dia boleh menjawab dan saya beri masa untuk dia jawab… perkara ini sudah dibongkar oleh orang lain, saya hanya susun bagi elok sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif terhadap MBI dan tidak mengetahui seluruh perjalanan operasi termasuk kedudukan dua warga China yang dibawa masuk oleh perbadanan itu untuk meneroka REE.

Muhammad Sanusi pula berkata beliau mengenali individu yang dimaksudkan itu sebagai ‘Mr So’ dan pernah berkomunikasi dengannya menggunakan penterjemah kerana tidak fasih Bahasa Inggeris serta Bahasa Melayu.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menafikan beliau membawa masuk ‘Mr So’ yang dikaitkan dengan kes kecurian REE di Bukit Enggang itu ke negara ini.

“Tuduhan Saifuddin ini kata sayalah buat surat untuk So Lai Fat masuk Malaysia, dak, saya masuk di pejabat, dia ada di Malaysia lama dah,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke program sembang santai di Taman Sri Putra, Kuala Kedah hari ini.

Baca Lagi:
Sebuah kubur di Selat Klang diterangi cahaya lilin jadi tanda tanya orang ramai, dah cabut tapi esok ada lagi
12 lokasi misteri dan berhantu yang paling seram di Malaysia
Lebih 33 juta pengguna internet bakal menikmati harga internet lebih murah menjelang September ini