Sah! Sanusi kahwin dua, isteri baharu pegawai polis dipinang isteri pertama

Photo of author

By Syima Iza

Sah! Sanusi kahwin dua, isteri baharu pegawai polis dipinang isteri pertama.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan bahawa beliau kini beristeri dua.

Tanpa berselindung, Sanusi mengakui bahawa majlis meminang isteri keduanya dilakukan sendiri oleh isterinya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh, beberapa bulan yang lalu.

Sah! Sanusi kahwin dua, isteri baharu pegawai polis dipinang isteri pertama

Menurutnya, isteri keduanya merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak dan berasal dari Kedah.

“Saya berkahwin dengan seorang anggota polis. Proses peminangan dibuat oleh isteri saya beberapa bulan yang lalu. Alhamdulillah, semua proses berjalan lancar dan teratur.

“Pada hari peminangan dan perkahwinan, isteri saya (Jusmalailani) ada, anak-anak saya pun hadir. Semua proses mengikut prosedur, jadi tiada isu,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas majlis penyerahan geran tanah di Felcra Belimbing, Tualak, pada Rabu.

Sanusi menjelaskan bahawa perkahwinan keduanya tidak diumumkan kerana beliau tidak suka menghebahkan hal keluarga.

“Ini adalah hal peribadi. Saya jarang bercakap mengenainya, rumah tangga orang pun saya tak kacau, tapi saya tak faham kenapa orang terlalu berminat dengan hal saya.

“Saya tak suka hal peribadi keluarga dihebahkan. Banyak orang membuat spekulasi yang tidak sepatutnya, seperti mengatakan saya ditangkap khalwat. Ini tidak patut dijadikan sensasi, masyarakat perlu dididik. Sensasi mesti ada fakta dan ilmu,” ujarnya. Menurutnya, untuk mengelakkan fitnah atau spekulasi yang tidak perlu, Sanusi tampil memperjelaskan situasi sebenar.

“Saya mahu elak perkara-perkara sensasi yang tak perlu. Tak ada isu, saya masih ada kuota dua lagi,” katanya sambil ketawa. Sanusi menjelaskan, spekulasi berlebihan menyebabkan beliau perlu tampil menjernihkan keadaan dan menjelaskan status perkahwinan keduanya.

“Isteri saya bukan penyiasat kes unsur nadir bumi (REE), dia penyiasat kes bahan letupan di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon. Itulah kali pertama dan kali terakhir saya berjumpa dia, atas siasatan kes bom berkenaan.

“Selepas itu, dia menjadi kawan isteri saya kerana dia rajin mengaji dan pergi kuliah. Kami tidak pernah berjumpa atau berkawan sebelum ini. Selepas kahwin, barulah kami bercinta,” katanya.

Sanusi berharap dengan pengumuman ini, tiada lagi spekulasi berkaitan hal peribadi dan rumah tangganya dicanang oleh pihak tertentu.

“Percintaan selepas perkahwinan lebih indah daripada percintaan sebelum berkahwin.

“Tak elok hal peribadi diheret ke mana-mana, hormati privasi saya dan keluarga. Perkahwinan merupakan sunnah yang utama, ada yang sampai peringkat wajib dan ada yang sunat. Mengganggu rumah tangga orang atau membuat spekulasi pula adalah haram,” katanya.

Sanusi turut memperbetulkan salah faham sebelum ini yang mendakwa isteri keduanya terlibat dalam siasatan kes berkaitan REE di Kedah.

“Maksud ‘tangkap’ dalam ucapan saya baru-baru ini bukan merujuk kepada isteri saya, tetapi kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

“Semasa kempen PRN dulu, beliau menyerang saya dan membuat dua kesilapan. Saya ‘tangkap’ dia melakukan dua kesilapan berkaitan kes REE, itulah maksud saya mengenai ‘tangkapan’ itu,” jelasnya.

Sebelum ini, Sanusi menafikan dakwaan bahawa beliau berkahwin dengan seorang anggota pasukan penyiasat yang menyiasat kes kecurian REE di Bukit Enggang, Sik Kedah, seperti yang diperkatakan di laman sosial.

Sanusi telah mendirikan rumah tangga dengan Tok Puan Jusmalailani Jusoh pada 14 Februari 1999 dan dikurniakan lima cahaya mata.

Baca Juga:
“Sebagai pengajaran saya kongsi muka dia” – Baby Shima terkejut terima mesej lucah dari remaja bawah umur
Pemilik restoran cari Honda biru, cabut lari selepas beli piza
11 ibu bapa termasuk pelajar maut, bas sekolah hilang kawalan rempuh orang ramai