Rupanya ini rahsia Sofia Jane nampak muda di usia 52 tahun.
Aktres tersohor, Sofia Jane mendedahkan bahawa sudah beberapa tahun beliau berhenti mengambil makanan segera atau yang diproses.
Menurut pemilik nama sebenar Sofia Jane Hisham ini, langkah itu diambil untuk menjaga kesihatan seiring dengan usianya yang kini mencecah 52 tahun.
“Pada usia sekarang, saya hanya makan makanan yang menyihatkan tubuh saya.
“Ia sangat mudah, tetapi ramai yang tidak percaya.
“Selain itu, sebaik sahaja bangun pagi, saya akan bersenam di gimnasium untuk memastikan saya kekal sihat,” katanya ketika ditemui dalam sesi penggambaran drama One Cent Thief 2, baru-baru ini.
Sofia ditanya mengenai rutin penjagaan kesihatan dan kecantikannya pada usia 52 tahun. Menurut pelakon filem Mira Edora ini, tiada yang lebih diharapkannya selain kesihatan yang berkekalan.
Jelas Sofia lagi, sebagai seorang pelakon, kesihatan amat penting dan menjadi keutamaan.
“Kalau saya mahu terus bekerja dalam tempoh yang lebih lama, saya perlu sentiasa sihat, baik dari segi mental mahupun fizikal.
“Saya pasti kebanyakan wanita yang bekerja dalam industri ini dan yang seusia saya juga mengharapkan perkara yang sama.
“Kerja kami bukan seperti waktu pejabat; siang malam dan ikut jadual yang tidak menentu. Sebab itu kesihatan perlu diutamakan,” jelasnya.