Rupanya ini maksud sebenar kenapa warga Bangladesh selalu pegang tangan sesama lelaki ketika berjalan.
Fenomena berpegangan tangan antara dua lelaki sering dilihat dalam kalangan warganegara asing, khususnya dari Bangladesh. Berbeza dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengaitkannya dengan orientasi tertentu, terdapat sebab sebenar di sebalik budaya ini yang menjadi kebiasaan di negara mereka.
Persoalan ini dibongkar oleh jurugambar dan sukarelawan terkenal, Saiful Nang, yang bertanya terus kepada masyarakat Bangladesh mengenai makna budaya tersebut.
Menurut lelaki Bangladesh yang ditemui, berpegangan tangan merupakan “bahasa” untuk meluahkan rasa kasih sayang sesama manusia. Baginya, tanggapan bahawa sesama jantina tidak boleh berpegangan tangan mungkin timbul daripada pandangan yang telah tercemar dengan fahaman songsang.
Contohnya, seorang anak yang sering memimpin tangan bapanya ketika kecil mungkin enggan berbuat demikian apabila dewasa kerana bimbang dianggap tidak wajar atau dikaitkan dengan orientasi tertentu. Akibatnya, hubungan antara anak dan bapa tidak lagi seerat dahulu.
“Kami sayang sahabat kami seperti mana kamu sayang anak lelaki kamu; maka seperti mana kamu menunjukkan kasih sayang, begitu juga kami. Cuma minda kami tidak tercemar dengan persepsi yang mengaitkan kami dengan perkara tidak wajar,” jelas lelaki Bangladesh itu.
Mungkinkah selepas memahami perspektif ini, persepsi terhadap berpegangan tangan sesama lelaki akan berubah?