Rupanya ini kisah sebenar pelajar cemerlang bawa guni daftar UMS, siap dapat duit belanja dari Menteri.
Gadis yang tular kerana menggunakan guni untuk membawa barang ketika mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjelaskan situasi sebenar mengenai perkara tersebut.
Rafida Zaiddin, 19, berkata dia tidak menyangka tindakan tersebut menjadi tular dan mendapat perhatian ramai kerana penggunaan guni itu sebenarnya bertujuan untuk memudahkan urusannya membawa barang ke UMS.
“Saya tidak terfikir perkara ini akan jadi viral. Selepas itu, seorang senior datang ke bilik saya bertanya mengenai guni tersebut.
“Saya fikir mungkin ada orang yang terbawa atau kehilangan guni. Tetapi kemudian dia mengambil gambar dan menemubual saya,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurut Rafida lagi, dia membawa dua beg semasa pendaftaran, namun disebabkan perjalanan menaiki bas dari Sandakan ke Kota Kinabalu, Sabah, dia mengambil inisiatif untuk meletakkan sebahagian barang di dalam guni.
“Saya menaiki bas selama enam jam dari Sandakan ke Kota Kinabalu, jadi banyak barang yang perlu dibawa. Sebab itu saya masukkan separuh barang ke dalam guni, sebab jika diasingkan, saya risau barang-barang akan tercicir.
“Separuh barang dimasukkan ke dalam guni, manakala separuh lagi dalam bagasi dan beg sandang. Ini idea saya sendiri, menggunakan guni milik bapa. Penggunaan guni ini bukan sebab tidak mampu, tetapi hanya untuk memudahkan urusan membawa barang dari Sandakan ke Kota Kinabalu,” jelasnya.
Anak bongsu daripada dua beradik itu turut berkongsi mengenai perbualannya dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menerusi panggilan video baru-baru ini.
“Menteri tanya mengenai perbelanjaan saya, dan saya maklumkan semuanya mencukupi. Beberapa minit kemudian, beliau memindahkan wang perbelanjaan,” katanya.
Rafida turut berkata bahawa beberapa pihak telah bertanya mengenai biasiswa dan memaklumkan bahawa ia akan diuruskan dengan secepat mungkin.
Berkongsi mengenai keluarganya, Rafida menyatakan bahawa dia membantu bapanya yang berniaga secara kecil-kecilan di pasar.
“Bapa saya berniaga dan kini masih menjual buah-buahan serta sayur-sayuran berhampiran rumah kami di Kampung Sim-Sim,” katanya yang bercita-cita menjadi akauntan.