Rupa-rupanya ini sebab tayar lori ‘terapung’ tidak cecah permukaan jalan.
Hampir setiap hari, kenderaan muatan berat sering digunakan untuk menghantar kontena atau barang dalam kuantiti yang besar ke lokasi tertentu.
Oleh itu, tidak menghairankan mengapa lori, trak, atau treler muatan berat ini mempunyai saiz yang lebih besar dan panjang kerana perlu mengangkut barang yang banyak dalam satu masa.
Dalam situasi tertentu, kita mungkin pernah melihat atau berhenti di sebelah lori-lori ini, contohnya ketika persimpangan lampu isyarat, bukan?
Mata kita pasti akan tertarik seketika melihat lori-lori tersebut, dan jika diperhatikan, ada kalanya kita akan perasan ada lori yang tayarnya terangkat atau tergantung, tidak mencecah permukaan jalan.
Pernahkah terfikir, apa sebabnya tayar tersebut diangkat? Bukankah lori akan menjadi lebih stabil jika semua tayar digunakan?
Hari ini, kami ingin berkongsi sebab mengapa ada tayar lori yang terapung dan mengapa tidak semua tayar digunakan setiap masa.
Apa Maksud Tayar ‘Terapung’ pada Lori?
Menurut portal Driving Test, tayar yang terangkat dan tidak menyentuh permukaan jalan dikenali sebagai gandar terangkat atau lift axle.
Lori atau trak yang membawa muatan berat dilengkapi dengan lift axle atas beberapa sebab, salah satunya adalah untuk pengagihan beban yang lebih baik.
Lift axle dikatakan membantu mengagihkan beban dengan lebih rata, yang seterusnya boleh meningkatkan kestabilan lori dan mengurangkan tekanan pada tayar.
Apabila lori tidak membawa muatan, lift axle akan diangkat dan tayar tidak akan menyentuh permukaan jalan kerana beberapa sebab.
Apabila tidak digunakan, lift axle akan diangkat untuk mengurangkan geseran dan menjimatkan penggunaan bahan api.
Jika semua tayar digunakan di atas permukaan jalan, lebih banyak tenaga diperlukan.
Jadi, apabila tayar tersebut dinaikkan, kenderaan berat ini menjadi lebih cekap dan kos operasi semakin berkurang.
Selain itu, lift axle juga membantu menjimatkan kos penyelenggaraan wear and tear, iaitu mengurangkan kadar kehausan tayar ketika lori tidak membawa muatan.
Apabila lori membawa muatan yang berat, tayar berkenaan akan diturunkan secara automatik untuk menambah kestabilan dan menampung beban tambahan.
Secara ringkasnya, jika beban tidak begitu berat, tiada keperluan untuk lift axle itu digunakan.
Namun, ada kalanya lift axle diturunkan apabila lori melalui permukaan yang tidak rata kerana lebih banyak tayar yang menyentuh permukaan akan menjadikan pemanduan lebih lancar.
Tiga Kelebihan Penggunaan Gandar Terangkat pada Kenderaan Muatan Berat
Menurut portal Yamada Sharyo Co. Ltd, terdapat tiga kelebihan utama apabila kenderaan muatan berat menggunakan gandar terangkat.
Pertama, ia dapat memanjangkan jangka hayat tayar dan pad brek. Kedua, ia membantu mengurangkan rintangan bergolek dan meningkatkan kecekapan bahan api.
Akhir sekali, lift axle juga berfungsi untuk mengurangkan kerosakan pada permukaan jalan.