Rupa bulu dinosour berusia 125 juta tahun didedahkan.
Rupanya begini bulu dinosaur yang berusia 125 juta tahun. Ahli paleontologi di University College Cork (UCC), Ireland, telah menemui bukti sinar-X protein dalam bulu fosil yang memberikan penerangan baharu mengenai evolusi bulu.
Bulu dari burung zaman moden mempunyai lebih banyak persamaan dengan bulu dinosaur. Kajian terdahulu mencadangkan bahawa bulu purba mempunyai komposisi yang berbeza dengan bulu burung pada hari ini.
Penyelidikan baharu itu mendedahkan bahawa komposisi protein bulu zaman moden juga terdapat pada bulu dinosaur dan burung awal. Ini mengesahkan bahawa kimia bulu berasal lebih awal daripada yang difikirkan sebelum ini.
Menurut ketua penyelidik, Dr. Tiffany Slater, pasukannya menganalisis bulu berusia 125 juta tahun daripada dinosaur Sinornithosaurus dan burung awal Confuciusornis dari China, serta bulu berusia 50 juta tahun dari Amerika Syarikat.
“ sangat menarik untuk menemui persamaan baharu antara dinosaur dan burung. Untuk melakukan ini, kami membangunkan kaedah baharu bagi mengesan kesan protein bulu purba.
Kami juga menggunakan sinar-X dan cahaya inframerah. Kami dapati bahawa bulu daripada dinosaur Sinornithosaurus mengandungi banyak beta-protein yang sama seperti bulu burung pada hari ini,” katanya.
Tambahnya, bagi membantu mentafsir isyarat kimia yang dipelihara dalam bulu fosil, pasukan itu menjalankan eksperimen untuk memahami cara protein bulu terurai semasa proses fosil. “Bulu burung moden kaya dengan beta-protein yang membantu menguatkan bulu untuk terbang,” ujarnya lagi.
Kajian itu diterbitkan pada 21 September 2023 dalam jurnal Nature Ecology and Evolution.