Rumah ‘corner lot’ serupa setinggan mahu disewa RM1,700 sebulan buat netizen terkejut.
Sementara harga hartanah semakin mahal, kelihatan ada juga individu yang cuba mengenakan kadar sewaan yang melampau namun tidak setara dengan penawaran kediaman yang disediakan.
Baru-baru ini, satu hantaran daripada seorang individu melalui grup FB Komuniti Gelang Patah (KGP) telah dikecam teruk oleh netizen gara-gara penyenaraian harga sewa bulanan yang dianggap tidak masuk akal untuk rumahnya.
Di dalam hantaran tersebut, individu terbabit telah menghebahkan sebuah rumah teres yang terletak di corner lot yang mahu disewakan pada kadar RM1,700 dengan deposit setinggi RM3,000.
“Rumah corner lot utk disewa. No1 taman gelang emas 2 jalan gelang emas gelang patah. Bulanan RM1700 Depo RM3,000,” tulisnya.
Anda boleh lihat sendiri keadaan rumah yang tidak menarik dan masih ada timbunan bahan binaan yang terbiar di ruang parkir rumah tersebut. Dari pemerhatian secara kasar, rumah ini mungkin hanya mempunyai dua atau tiga bilik yang tidak terlalu besar, namun harganya jauh di luar jangkaan.
Hantaran individu terbabit langsung dipenuhi kecaman dan sindiran kerana kadar sewa yang dikenakan tidak setara dengan keadaan rumah yang ditawarkan. Tambah pula lokasi rumah itu yang dipercayai bukanlah di kawasan bandar pesat atau dimaklumkan mana-mana fasiliti pengangkutan awam dan seumpamanya sebagai selling point yang berbaloi.
Sampai satu tahap, ada yang menggelarkan ia sebagai rumah setinggan kerana keadaan rumah yang tidak kondusif dan tidak layak untuk dicaj mahal untuk sewaan bulanan.
Selain daripada itu, netizen turut menyatakan bahawa dengan kadar sewa sebegitu, sudah boleh mendapatkan rumah banglo atau kondominium mewah yang lebih berbaloi dan lengkap dengan fasiliti yang lebih baik.
Malah, ada netizen yang menegaskan keluarganya juga menyewakan sebuah rumah banglo setingkat yang mempunyai tiga bilik bersaiz besar dan terletak betul-betul dekat dengan bandar, hanya dicaj sekitar RM800 sahaja.
Netizen lain turut mendedahkan bahawa individu terbabit dipercayai adalah seorang penyewa yang mahu mengambil keuntungan dengan menyewakan rumah tersebut kepada orang lain pada kadar yang lebih tinggi.