
Ronaldo sah sertai kelab Arab Saudi, gaji RM87,939 sejam
Ronaldo sah sertai kelab Arab Saudi, gaji RM87,939 sejam. Cristiano Ronaldo menandatangani kontrak dua tahun setengah dengan kelab Arab Saudi, Al Nassr dan menjadi atlet termahal dunia setakat ini.
Bintang Portugal itu – yang menjadi ejen bebas sejak kontraknya bersama Manchester United ditamatkan bulan lalu – akan menerima 173 juta pound (RM761.3 juta) setahun di negara Timur Tengah itu.
Perjanjian itu dipercayai berlanjutan sehingga tujuh tahun – di mana Ronaldo juga akan memainkan peranan sebagai duta sebaik dia bersara.
Ini bermakna Ronaldo akan menerima sehingga 1.2 bilion pound (RM5.28 bilion) sepanjang kontraknya itu.
“Saya teruja untuk pengalaman baharu di liga berbeza dan negara lain. Visi Al Nassr amat merangsangkan.
“Saya tidak sabar untuk menyertai rakan sepasukan, membantu pasukan mencapai lebih banyak kejayaan,” kata Ronaldo.
Al Nassr dalam satu kenyataan berkata: “Sejarah dalam pembikinan. Perjanjian ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada kelab untuk mencapai kejayaan lebih besar, tetapi turut mencetus inspirasi kepada liga dan generasi akan datang. Selamat datang @Cristiano ke rumah baharu anda.”
Ronaldo sebelum ini dikatakan cuba mengelak perpindahan ke benua Asia itu kerana masih mahu beraksi di Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Ronaldo sebelum ini pernah menolak tawaran untuk bermain di Arab Saudi dengan bayaran 3 juta pound (RM13.2 juta) seminggu.
Al Nassr, yang turut dikaitkan dengan bekas rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, Sergio Ramos, kini di tangga kedua Liga Pro Saudi selepas merakam tujuh kemenangan dalam 10 perlawanan pertama.
10 atlet termahal dunia:
1. Cristiano Ronaldo 173 juta pound (RM761.3 juta)
2. Canelo Alvarez 70 juta pound (RM308.2 juta)
3. Lionel Messi 62 juta pound (RM272.9 juta)
4. Neymar 58 juta pound (RM255.3 juta)
5. Matthew Stafford 58 juta pound (RM255.3 juta)
6. Josh Allen 52 juta pound (RM228.9 juta)
7. Tyson Fury 50 juta pound (RM220 juta)
8. Aaron Rodgers 47 juta pound (RM206.9 juta)
9. Lewis Hamilton 47 juta pound (RM206.9 juta)
10 Deshaun Watson 46 juta pound (RM202.4 juta)
Pecahan bayaran Cristiano Ronaldo di Al Nassr:
Setahun 173 juta pound (RM761.3 juta)
Sebulan 14.4 juta pound (RM63.4 juta)
Seminggu 3.33 juta pound (RM14.5 juta)
Sehari 476,000 pound (RM2.1 juta)
Sejam 19,982 pound (RM87,939)
Seminit 330 pound (RM1,452)
Sesaat 5.5 pound (RM24.2)