Ronaldo dibayar RM14.5 juta untuk satu ‘sponsored post’ di Instagramnya.
Cristiano Ronaldo, salah seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, terus mencipta kejayaan bukan sahaja di atas padang, tetapi juga di luar padang.
Pemain berusia 39 tahun itu telah memenangi pelbagai trofi berprestij sepanjang kariernya, termasuk menjulang kejuaraan Eropah bersama Portugal pada tahun 2016.
Dengan rekod melebihi 800 gol sepanjang kariernya, Ronaldo bukan sahaja ikon bola sepak, tetapi juga salah satu selebriti paling dikenali di dunia.
Selain kejayaan dalam sukan, Ronaldo juga menjadi figura yang sangat berpengaruh di media sosial.
Dengan lebih 600 juta pengikut di Instagram, beliau menggunakan platform itu untuk menjana pendapatan lumayan melalui perkongsian berbayar (sponsored post).
Menurut laporan CNN, Ronaldo memperoleh $3.23 juta (kira-kira RM14.5 juta) bagi setiap perkongsian berbayar di Instagram, menjadikannya selebriti dengan pendapatan tertinggi di platform tersebut.
Pendapatan Ronaldo daripada media sosial meningkat secara mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada tahun 2019, beliau hanya memperoleh sekitar £755,000 (RM4.2 juta) setiap perkongsian.
Selain itu, kontrak bernilai £177 juta (kira-kira RM1 bilion) setahun bersama kelab Al-Nassr di Arab Saudi turut melonjakkan statusnya sebagai atlet dengan pendapatan tertinggi di dunia.
Tidak hanya itu, Ronaldo juga mempunyai pelbagai perjanjian penajaan dengan jenama-jenama besar seperti Nike, Armani dan Tag Heuer.
Kekayaan Bertambah Selepas Melancarkan ‘UR Cristiano’
Pada tahun ini, Ronaldo turut menambah ‘kekayaannya’ dengan melancarkan saluran YouTube miliknya, ‘UR Cristiano’.
Sejak pelancarannya, saluran YouTube ‘UR Cristiano’ mencatat rekod dunia apabila berjaya menarik 20 juta pengikut (subscribers) dalam masa 24 jam sahaja.
Rekod ini dikatakan memecahkan rekod yang dipegang oleh pempengaruh (influencer) Amerika, Mr. Beast.
Setakat Ogos lalu, saluran ‘UR Cristiano’ telah mengumpulkan sebanyak 177,007,767 tontonan secara keseluruhan dengan hanya 19 video yang dimuat naik.
Menurut anggaran, YouTube membayar kira-kira $6 (kira-kira RM26) bagi setiap 1,000 tontonan.
Ini bermaksud Ronaldo boleh memperoleh antara $1,200 (kira-kira RM5,374) hingga $6,000 (kira-kira RM26,874) bagi setiap satu juta tontonan.
Berdasarkan pengiraan ini, hasil daripada pendapatan iklan dan penajaan yang ditandatangani, Ronaldo berkemungkinan telah menjana lebih daripada 100 juta Dolar hanya daripada saluran YouTube miliknya.
Ini adalah satu pencapaian yang luar biasa bagi Ronaldo, yang kini terus menambah pendapatannya dengan pantas melalui platform tersebut.