Kerajaan akan menyalurkan RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel individu, petani, dan pekebun kecil komoditi di bawah Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, berkata permohonan bagi bantuan itu akan dibuka esok melalui https://budimadani.gov.my.
“Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima Budi Madani pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024, dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.
“Manakala, bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024 akan menerima Budi Madani pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penerima tanpa akaun bank boleh menuntut Budi Madani secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Amir ketika mengulas lanjut, berkata kriteria kelayakan bagi kategori Budi Individu adalah seperti berikut:
- Pemohon merupakan warganegara Malaysia;
- Memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun;
- Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif;
- Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.
Manakala, bagi Budi Agri-Komoditi;
- Pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
- Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.
Katanya, setiap permohonan diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20).
Beliau berkata, “Dengan pelaksanaan Budi Madani, kerajaan telah memperluas bantuan tunai kepada individu dan petani kecil, dan pekebun kecil komoditi menjelang pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” katanya.