Bagai mimpi jadi nyata buat pelakon Rita Rudaini yang mengakui teruja dapat mempertemukan anak-anaknya dengan negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.
Ujar Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar, 48, peluang keemasan ini merupakan memori terindah buat keluarga kecilnya kerana mereka berpeluang berbicara serta merasai sendiri aura yang dimiliki oleh pemimpin terulung itu.
“Kenangan berharga yang tidak akan kami lupakan sampai bila-bila. Terima kasih Tun kerana sudi berkongsi ilmu dengan saya dan anak-anak. Aura Tun sangat kuat. Meremang bulu roma saat kami melangkah masuk bersua muka. Orang hebat, aura pun hebat.
“Rezeki kami hari ini berjumpa dengan orang yang hebat. Tak puas betul sembang dengan orang hebat,” tulisnya dalam perkongsian Instagram.
Menerusi hantaran sama, pelakon filem Mami Jarum itu turut tidak ketinggalan mendoakan Dr. Mahathir dan isterinya agar sentiasa dalam keadaan sejahtera.
“Kami doakan Tun M dan Tun Siti Hasmah sentiasa diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dilindungi Allah SWT. Banyak lagi soalan nak ditanya. Teruja sungguh Ryan dan Qaqa dapat jumpa negarawan. Kami sayang Tun. Tun terindah dan terulung,” ujarnya lagi yang turut merakamkan video perjumpaan tersebut.
Peluang mengunjungi pejabat bekas Perdana Menteri itu turut dimanfaatkan oleh Rita dengan membawa dua puteranya masuk ke galeri yang menyimpan pelbagai khazanah serta gambar tokoh dihormati.
View this post on Instagram
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen menyifatkan Rita dan anak-anak, Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, bertuah kerana berpeluang bersemuka dan berbual dengan pemimpin tersohor itu.
“Seronoknya dapat jumpa Tun. Tuah anak-anak. Sejuk perut mak mengandung anak-anak bertuah,” kata seorang netizen.
“Bertuahnya anak-anak. Dapat rasakan satu hari nanti dua beradik ini kerjanya hebat,” ulas seorang pengikut laman sosialnya.